Penceramah politik harus berhenti mengkafirkan

Penceramah politik harus berhenti mengkafirkan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Takfir merupakan satu perbuatan menghukum orang orang tertentu dengan hukuman kafir kerana dianggap telah bertindak dengan tindakan yang menyeleweng dari akidah islam seperti pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah ataupun individu yang mengangkat orang kafir sebagai pemimpin.

Dalam kontek sejarah Islam, takfir dikaitkan dengan tindakan kumpulan khawarij yang telah bertindak mengkafirkan sahabat dan membunuh saidina Ali.

Perbuatan ini sebenarnya dilarang keras oleh agama islam, hatta Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah menyebut bahawa sesiapa yang memanggil saudaranya kafir, maka sesungguhnya celakalah akan memimpa salah seorang dari mereka.

Isu takfir dalam masyarakat Melayu bermula secara meluas setelah kewujudan parti politik yang menggunakan agama untuk menewaskan lawan politik mereka, walaupun parti parti politik menafikan bahawa mereka bertindak mengkafirkan parti lawan,namun demikian, telah wujud sebahagian ulama parti politik bertindak menggunakan pendekatan takfir terhadap lawan politik mereka.

Video terbaru telah viral seorang pemimpin parti menyebut sekiranya Kak Wan (merujuk kepada ahli parlimen) tidak mengangkat tangan (tanda sokongan) kepada usul pindaan akta 355 , maka telah jatuh iman (kafir) ahli parlimen tersebut. Lihatlah bagaimana ahli politik ini menggunakan ugutan berbaur takfir kepada ahli parlimen agar ahli parlimen itu menyokong usul pindaan akta 355 oleh Marang walaupun telah dikeluarkan banyak hujah bahawa tidak kafir pihak yang tidak menyokong usul tersebut.

Tidak kurang sebelum ini telah viral kenyataan seorang pemimpin parti politik yang mendakwa syurga neraka itu terletak pada nombor keahlian parti mereka.

Pengamal tegar takfiri sering kali menggunakan ayat ayat al-Quran untuk menghukum kafir kelompok tertentu sedangkan asalnya ayat tersebut adalah bersifat umum.

Realiti perpecahan orang melayu sememangnya nyata berlaku, Islam yang sewajarnya menjadi alat perpaduan telah menjadi alat perpecahan kerana kejahilan sebilangan ulama yang menafsir agama menurut hawa nafsu mereka,

Kejadian seperti runtuhnya institusi kekeluargaan, masyarakat terbelah dua, solat dua imam,pemulauan kenduri kendara,bahkan pemulauan solat jenazah telah berlaku satu ketika dahulu antara penyokong Pas dan Umno, dan telah berulang hari ini diantara penyokong Pas dan Amanah. Ini boleh dilihat dalam satu gambar viral ‘screenshot’ dari aplikasi Whatsaap satu kumpulan yang sinis terhadap berita kematian ahli keluarga penyokong parti Amanah yang menjadi seteru baharu mereka.

Budaya mengkafirkan sememangnya faktor utama ketegangan masyarakat melayu hari ini, budaya ekstrim dan radikal penyokong parti politik yang ringan lidah untuk mengkafirkan sesiapa sahaja yang berlainan parti dengan mereka atau pun menolak pandangan ulama parti mereka telah melahirkan kebencian sesama umat islam.

Para aktivis yang mengaku membawa perjuangan islam sewajarnya mengambil saranan Imam Syahid Hasan Al Banna agar pendukung Ikhwan Muslimin mengelakkan budaya engkafirkan.

Mengkafirkan seorang muslim merupakan satu perkara yang berat, kerana ia boleh melibatkan putusnya hubungan kekeluargaan,bahkan jika ia terus dibiarkan boleh membawa kepada penghalalan darah mangsa yang dikafirkan, oleh itu wajar para penceramah politik, lebih cermat dan berhati hati dalam menghukum kafir seseorang muslim atau kumpulan tertentu hanya kerana mereka tidak menyokong ulama parti kalian.

Parti politik juga harus memainkan peranan untuk mendidik ahli parti agar berhenti dari terus menerus mengamalkan budaya mengkafirkan penyokong dan pemimpin parti yang tidak sealiran, jika tidak mampu kita mohon agar para pemimpin untuk berhenti berceramah dan teruslah menambah ilmu agama, kerana amalan itu merupakan barah kepada kesatuan umat islam di Malaysia.

CATEGORIES
TAGS