Pendaftaran Bersatu diluluskan dengan nama PPBM

Pendaftaran Bersatu diluluskan dengan nama PPBM

Pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini dengan nama singkatan PPBM.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini dengan nama singkatan PPBM.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kelulusan itu diberikan secara dasar kerana PPBM perlu terlebih dahulu menjelaskan lebih lanjut peranan pengerusi dan presiden parti sebelum surat rasmi kelulusan dikeluarkan, lapor Berita Harian Online.

“Berdasarkan perlembagaan parti itu, pengerusi berperanan mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi, manakala presiden mempengerusikan mesyuarat majlis presiden,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Penubuhan parti baharu diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan didaftarkan pada 9 Ogos lalu.

Parti baharu itu dinamakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dengan nama singkatannya Bersatu namun nama singkatannya kini PPBM.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyerahkan borang pendaftaran parti baharu itu pada jam 3.30 petang di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Bangunan Chancery Place, Jalan Diplomatik 2, Presint Diplomatik, Putrajaya.

Sebelum ini Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa parti politik baharu yang bakal ditubuhkan ini akan berteraskan Melayu pribumi dan Islam, namun tetap memperjuangkan kebajikan seluruh rakyat.

Beliau memberi jaminan parti baharu itu akan mempertahankan hak Melayu, Perlembagaan Negara, hak Raja-Raja, bahasa dan dalam masa sama turut menjaga kepentingan serta hak kaum lain.

Dengan kelulusan pendaftarannya, PPBM dijangka akan bergabung dengan parti-parti pembangkang yang lain bagi membentuk apa yang dinamakan ‘grand coalition’ bagi menentang Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke 14 yang dijangka seawalnya Mac tahun depan.

 

 

TAGS