Pendakwah puji Khairul Idham pertahan nilai agama

Pendakwah puji Khairul Idham pertahan nilai agama

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pendakwah terkenal Dr Zaharuddin Abd Rahman memuji tindakan pelumba Malaysia Khairul Idham Pawi yang mengelakkan diri daripada membuat upacara sambutan  kemenangan dengan membuka botol arak di atas pentas.

Dr Zaharuddin berkata, kejayaan Khairul Idham dalam Kejohanan MotoGP Dunia menjadi
lebih manis apabila beliau tidak lalai daripada menjaga soal halal dan haram.

“Beliau tiada rasa segan dalam diri untuk mengelak, kerana sebahagian orang,
apabila berjaya di persada antarabangsa, kerap terdorong dan merasa perlu untuk
meraikan budaya asing walau mencalar hukum hakam agama dan kepercayaan diri,” tulis
beliau di Facebooknya.

Khairul Idham Pawi menang Kejohanan MotoGP Dunia dalam kategori Moto3 pada Grand
Prix Motosikal Argentina Isnin lalu.

Pelumba berusia 17 tahun dari pasukan Honda Team Asia ini mencatat masa 41 minit
35.452 saat dalam 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo.

Dr Zaharuddin yang juga presiden NGO Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid) turut
berkata, walaupun sukan lumba motosikal bukanlah sukan yang baik menurut perspektif
agama, namun bagi mereka yang telah menceburkan diri, meningkatkan tahap
profesionalisme sangat dituntut.

“Walaupun sukan berlumba motor ini bukanlah suatu sukan yang baik menurut
perspektif agama kerana elemen mudarat dan membahayakan mungkin boleh jadi lebih
banyak dari manfaatnya, namun bagi mereka yang telah menceburkan diri dalamnya,
meningkatkan skill dan profesionalisme adalah amat perlu.

“Amat baik sentiasa mengelak dari unsur haram yang di sekitarnya seperti kemalangan
akibat kurang skill, godaan gadis litar, arak dan semburan araknya,” katanya lagi.

Khairul Idham yang beraksi buat kali ketiga dalam Moto3 teruja dengan kemenangan
tidak dijangka itu.

“Saya gembira dan bersyukur dengan keputusan ini dan teruja dengan kemenangan
pertama ini.

Saya tidak rasa tertekan.

Saya mencuba yang terbaik untuk fokus dan mendahului perlumbaan,” katanya.

TAGS