Pendapatan pasif penarik sertai skim cepat kaya

Pendapatan pasif penarik sertai skim cepat kaya

Memperoleh pendapatan pasif tanpa perlu berbuat apa-apa menyebabkan ramai yang mudah diperdayakan untuk menyertai skim cepat kaya tanpa menyedari risiko yang menanti mereka.

Profesor Khas di Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Amir Baharuddin berkata hakikatnya, skim pelaburan haram itu hanya mampu bertahan tidak lebih daripada tiga tahun sebelum dalangnya melarikan wang pelabur.

“Dalam mana-mana skim cepat kaya, hanya orang teratas dalam piramid kumpulan akan menjana keuntungan…jarang sekali mereka yang di bawah mendapat pulangan yang dilaburkan.

“Orang pertama yang mendaftar dengan skim itu akan menerima bayaran daripada orang kedua dan seterusnya sehinggalah sesuatu skim itu ‘bungkus’,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Amir berkata pada peringkat awal sesuatu skim itu, pembayaran akan dilakukan dengan baik bagi meyakinkan anggota untuk menghebohkan tentangnya kepada orang ramai.

“Selepas berita tersebar dan ramai orang mula menyertai skim berkenaan, dalang selalunya akan membawa lari wang yang dilaburkan sebelum menghilangkan diri.

“Kegiatan ini dikesan berlaku sejak 1960-an namun, ketika itu, jumlah wang tidaklah begitu besar. Bagaimanapun, sekarang orang mula bertindak berani dengan jumlah wang pelaburan pula bertambah tinggi,” katanya.

Menurutnya skim penipuan itu turut mengundang masalah sosial dalam kalangan masyarakat kerana ada yang bertindak meminjam wang daripada sanak saudara serta ceti untuk menyertai sesuatu skim itu.

“Ia sekali gus menyebabkan aktiviti ekonomi ‘underground’ semakin menular dalam kalangan masyarakat dan boleh meningkatkan kadar jenayah,” katanya.

Amir turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan skim yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat kerana ia sering dikaitkan dengan penipuan.

Sementara itu, satu risalah pakej pelaburan yang dimuat naik di beberapa laman sesawang, menunjukkan satu lot saham yag ditawarkan syarikat itu bernilai RM350.

Tawaran itu, yang kononnya daripada sebuah koperasi, menjanjikan peserta bayaran RM100 selama 12 bulan tanpa perlu berbuat apa-apa.

Namun, pemeriksaan di Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mendapati koperasi berkenaan tiada dalam senarai pendaftarannya.

Perkara itu disahkan Pengarah SKM Kelantan Wan Muhamad Sabri Wan Harun, yang turut memberitahu bahawa sebanyak 820 koperasi telah mendaftar di negeri ini sehingga Julai lepas.

Beliau berkata setakat ini, kesemua koperasi berkenaan tidak terlibat dengan mana-mana skim cepat kaya.

Beliau menjelaskan penubuhan sesebuah koperasi adalah berkonsepkan komuniti di mana ia memerlukan penglibatan minimum 50 orang berumur 18 tahun ke atas sebelum koperasi dapat ditubuhkan.

“Mengikut Akta Koperasi 1993, mana-mana pihak yang ingin menubuhkan koperasi perlulah mengemukakan permohonan kepada SKM sebelum kita mengeluarkan surat kebenaran sementara bagi membolehkan komuniti itu menjalankan mesyuarat agung bagi melantik anggota jawatankuasa koperasi.

“Dalam tempoh tiga bulan pertama, koperasi berkenaan tidak dibenarkan mengutip sebarang deposit daripada ahli untuk menjalankan sebarang perniagaan sehinggalah koperasi itu didaftarkan secara sah,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di Wisma Persekutuan Kelantan.

Sepanjang tempoh itu, SKM akan mengadakan pertemuan, sesi taklimat dan pemantauan terhadap komuniti itu bagi mengesan sebarang unsur penipuan sebelum mendaftarkan komuniti tersebut sebagai koperasi yang sah.

“Selepas diyakini koperasi itu ditubuhkan untuk tujuan murni, kita akan daftarkannya dan baharulah koperasi dibenarkan mengambil deposit daripada anggota untuk menjalankan perniagaan yang difikirkan sesuai dengan penubuhan koperasi itu.

“Selepas menjalankan perniagaan selama setahun dan mendapat keuntungan, dividen akan diberikan kepada anggota koperasi setelah mendapat kelulusan lembaga koperasi atau keuntungan dikembalikan kepada koperasi untuk memperluas operasi atau untuk tujuan lain yang positif,” jelas beliau.

CATEGORIES