Pendidikan percuma boleh dilaksana jika ekonomi diurus dengan baik

Pendidikan percuma boleh dilaksana jika ekonomi diurus dengan baik

Sebagai respons kepada kenyataan Ahli Parlimen Lenggong (Umno-BN), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang mengatakan bahawa pendidikan negara dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah dikategorikan sebagai percuma, Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jika benar ia dikategorikan sebagai percuma mengapa kebanyakan sekolah kerajaan di peringkat rendah mahu pun menengah kini bergantung kepada sumbangan PIBG bukan sahaja untuk melakukan pelbagai aktiviti pelajar malah operasi sekolah.

Hal ini berlaku menurut Nik Nazmi apabila kerajaan memotong dan mengecilkan peruntukan kepada sektor pendidikan.

“Kecoh sebelum ini sekolah-sekolah yang sepatutnya menyediakan pendidikan percuma ini, sampai ke tahap meminta kertas A4 daripada pelajar dan guru, meminta sumbangan ibu bapa untuk mencetak kertas peperiksaan dan menanggung kos guru gantian.

“Bagi sektor pendidikan tinggi pula, anak-anak muda daripada keluarga rakyat biasa yang ingin melanjutkan pelajaran kini terpaksa bergantung kepada pinjaman PTPTN untuk ke IPTA atau IPTS, yakni berhutang,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, bilangan IPTA di negara ini tidak bertambah berbanding IPTS yang tumbuh bagaikan cendawan, membuatkan majoriti rakyat bergantung kepada IPTS yang kosnya lebih tinggi.

Jumlah biasiswa juga semakin berkurangan. Pelajar miskin dan pertengahan menjadi mangsa, tambah Ketua Angkatan Muda Keadilan itu.

Beliau membandingkan soal pendidikan pada zaman Tun Razak di mana meskipun negara tidak kaya pada waktu itu, kerajaan memberikan tumpuan kepada pendidikan dengan pembukaan sekolah-sekolah berasrama penuh, asrama-asrama yayasan negeri dan MRSM. Bagi sektor pendidikan tinggi, IPTA-IPTA baru dibina sementara biasiswa dalam dan luar negara digandakan.

Beliau berkata, soal pendidikan percuma di semua peringkat yang sering diutarakan oleh Pakatan Harapan boleh dilaksanakan.

“Jika tiada ketirisan, kebocoran atau amalan rasuah di negara ini, kita sememangnya berupaya melaksanakan pendidikan percuma di semua peringkat dan ia akan meringankan beban rakyat. Pendidikan adalah pelaburan masa depan terpenting sesebuah negara,” katanya.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES