Penduduk Sarawak terima Amanah dengan positif, kata Salahuddin

Penduduk Sarawak terima Amanah dengan positif, kata Salahuddin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Biarpun baru pertama kali menyertai pilihan raya, sambutan terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) di Sarawak kali ini sangat memberangsangkan, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Beliau yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk Amanah bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, berkata sambutan yang ditunjukkan masyarakat setempat ini sangat baik untuk membantu perkembangan Amanah di negeri ini untuk jangka masa panjang.

“Satu penerimaan yang baik dan cepat daripada penduduk tempatan yang telah mula mengenali Amanah.

“Ini merupakan satu kejayaan awal yang kita banggakan bersama walaupun kita bermula dengan sebuah parti berusia enam bulan,” katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon N40 Kabong hari ini.

Sementara itu, lebih 100 penyokong Amanah mengiringi calon mereka Jini Sahini hari ini.

Selain Salahuddin, turut serta Pengerusi Amanah Kedah Dr Ismail Salleh, Pengerusi Awan Negeri Dr Rohani Abd Muttalib serta pimpinan AmanahJerlun, Pokok Sena dan Sik yang diketuai Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali Leman Raja Lawak.

Mereka berkumpul di hadapan Balai Polis Kabong sebelum berarak kira-kira 300 meter ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Kabong yang mula dibuka jam 9 pagi.

Mengulas lanjut, Salahuddin turut menyeru kepada seluruh jentera agar permulaan yang baik ini diteruskan dan berjuang bersungguh-sungguh sehinggalah ke hari pembuangan undi nanti.

“Bagi Pihak Amanah saya negara mengucapkan tahniah dan syabas kepada calon-calon yang diamanahkan untuk bertanding yang telah diterima borang pencalonan mereka.

“Penghargaan kepada semua pimpinan-pimpinan negeri yang begitu komited untuk berhadapan dalam gelanggang pilihan raya kali ini serta jentera, ahli dan penyokong yang sedia mengahadaipi suasana getir sebegini,” katanya.

Amanah bertanding 13 kerusi di Sarawak dalam pilihan raya kali ini.

Kerusi-kerusi itu adalah Pengerusi Amanah Sarawak Muhammad Fidzuan Zaidi (Demak Laut), Nani Sahari (Samariang), Abang Abdul Halil Naili (Muara Tuang).

Bekas Pesuruhjaya PAS Sarawak Othman Mustapha (Sadong Jaya),  Andrew Jain (Sebuyau), Rapelson Richard Hamit (Gedong), bekas Ketua Penerangan PAS Sarawak Andri Zulkarnaen Hamden (Beting Maro).

Jini Sahini (Kabong), Sufian Julaihi (Kuala Rejang), Fadillah Sabali (Semop), Ibrahim Bayau (Daro), Kiprawi Sabali (Jemoreng) dan Nurzaiti Hamdan (Balingian).

TAGS