Penduduk selatan Thai adakan solat hajat, sehari selepas kejadian letupan bom

Penduduk selatan Thai adakan solat hajat, sehari selepas kejadian letupan bom

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kira-kira 500 umat Islam wilayah Narathiwat, selatan Thailand mengadakan solat hajat memohon kedamaian dan kesejahteraan di wilayah bergolak selatan Thailand, sehari selepas kejadian letupan bom di sebuah sekolah di sini semalam.

Dalam kejadian pada 8.30 pagi di hadapan Sekolah Taba, Takbai semalam itu, bom yang diletakkan dalam motosikal mengorbankan tiga orang, termasuk seorang bapa dan anak perempuannya yang berusia empat tahun.

Solat hajat itu dipimpin oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Safei Che Lah dan turut disaksikan oleh Gabenor Narathiwat Sithicai Sakda serta pegawai kerajaan yang lain.

Sejurus selepas menunaikan solat hajat itu, umat Islam berkenaan dan penduduk lain berarak di jalan sambil membawa sepanduk yang membawa mesej agar segala bentuk keganasan terhadap kanak-kanak dihentikan.

Mereka juga mengutuk dalang yang melakukan keganasan semalam.

Sementara itu, Sithicai menghulurkan bantuan kewangan sebanyak 500,000 Baht (RM60,000) kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian semalam itu.

“Kami merasa amat sedih dengan kejadian semalam dan akan membantu mangsa,” katanya.

Dalam kejadian semalam, Matyen Wokbah yang dalam perjalanan menghantar anaknya, Mitra ke sekolah maut terkena letupan bom motosikal itu, manakala mangsa ketiga meninggal dunia hospital akibat kecederaan.

Difahamkan, Allahyarham Matyen sebelum ini bertugas sebagai pengawal keselamatan di pejabat stesen televisyen Saluran 3 di Bangkok tetapi terpaksa pulang ke kampung untuk menjaga anak perempuannya itu dan seorang anak lelaki.

Sebanyak tujuh orang, empat daripadanya anggota polis turut tercedera dalam kejadian itu.

TAGS