Penempatan guru punca pengambilan guru pelatih dikurangkan, kata menteri

Penempatan guru punca pengambilan guru pelatih dikurangkan, kata menteri

Kadar penempatan guru di kebanyakan sekolah rendah seluruh negara yang hampir optimum antara faktor yang memberi kesan kepada jumlah pengambilan baharu guru pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kadar penempatan guru di kebanyakan sekolah rendah seluruh negara yang hampir optimum antara faktor yang memberi kesan kepada jumlah pengambilan baharu guru pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata berdasar kadar penempatan terkini, guru-guru di kebanyakan sekolah (rendah) kebangsaan sudah mencapai tahap antara 87 hingga 98 peratus.

“Ini bermakna ada sekolah yang sudah mencapai tahap tepu untuk pencapaian penempatan guru,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Mahdzir berkata hanya sejumlah 1,576 penuntut sahaja diterima masuk ke 27 IPG seluruh negara tahun ini termasuk 113 di Sabah dan 245 di Sarawak.

Mahdzir berkata keadaan itu antara faktor yang membawa kepada cadangan pertukaran beberapa IPG kepada politeknik dan kolej vokasional seperti yang diumumkan dalam Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Berdasar cadangan itu, sembilan daripada 27 kampus IPG akan dioptimumkan penggunaannya dengan empat kampus akan diubahsuai untuk menjadi politeknik, empat lagi sebagai kolej vokasional manakala sebuah lagi sebagai Pusat Latihan Jurulatih Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Mahdzir turut menafikan dakwaan bahawa cadangan itu bertujuan menutup IPG-IPG tersebut.

“Walaupun IPG tersebut akan ditukar, pengajian pendidikan oleh penuntut tetap diteruskan sehingga mahasiswa itu menamatkan pengajian sehingga tahun akhir mereka berada di IPG,” katanya.

Mengenai penempatan guru di sekolah menengah pula, Mahdzir berkata ia masih menghadapi kekurangan dan memberitahu pengambilannya datang terus daripada graduan ijazah universiti awam dan swasta.

— BERNAMA

TAGS