Peneroka kecewa diperalat menjelang pilihan raya

Peneroka kecewa diperalat menjelang pilihan raya

 Rata-rata warga peneroka Felda kecewa dengan sikap kerajaan Umno-BN yang dilihat tidak benar-benar membela sebaliknya menganiaya dan memperalat mereka setiap kali menjelang musim pilihan raya.

Presiden Persatuan Pekebun-pekebun Kecil Felda Bebas, Abas Muhammad (Gambar kiri)  berkata, perjanjian tanam semula hanya lebih mementingkan Felda Technoplant Sdn. Bhd. (FTP) yang ditubuhkan pada 2005 bagi tujuan menguruskan kebun peneroka.

Menurut Abas, 72, banyak syarat dalam perjanjian tanam semula juga hanya menguntungkan anak syarikat Felda terbabit sekaligus menzalimi peneroka sehingga menyebabkan mereka terikat dengan timbunan hutang.

“Potongan juga banyak dibuat macam untuk pulih ladang dan jalan pertanian tapi hasil kutipannya itu kita tidak tahu ke mana. Nak baiki jalan di kebun tetap kami juga sama-sama kumpul wang.

“Peneroka juga dipaksa patuh pada syarat yang mencurigakan antaranya dilarang memasuki ladang. FTP patut dengar cakap kita (peneroka) sebagai tuan tanah.

“Kenapa peneroka sebagai tuan tanah dipaksa ikut cakap FTP? FTP dilantik untuk kendalikan kerja-kerja ladang ikut jadual,” tegasnya ketika ditemui di Felda Sungai Klah di Sungkai, Perak semalam.

Mengulas pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini berkenaan insentif khas RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka, beliau menganggap pemberian itu hanya alat untuk terus mengikat warga peneroka.

“Siapa yang urus kebun sendiri, tidak mahu serah pada Felda dianggap melawan dan tidak dapat sebarang habuan. Macam-macam kerajaan Umno beri bila dekat pilihan raya supaya warga peneroka terhutang budi,” ujar Abas lagi.

Sementara itu, peneroka Haris Mat Salleh, 75, (Gambar bawah) bimbang nasib peneroka akan semakin parah jika perompak sebenar terhadap hak mereka tidak dibawa ke muka pengadilan.

“Peneroka juga pada masa sama perlu bersatu hati menuntut hak mereka tidak terus dinafikan,” tegas warga Felda Sungai Klah itu.

Terdahulu, dialog bersama Ahli Jawatankuasa Kerja AMANAH Nasional, Mazlan Aliman merangkap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) diadakan di lokasi sama.

Haris Mat Salleh

TAGS