Pengadu domba sebar fitnah Saifuddin Nasution letak jawatan

Pengadu domba sebar fitnah Saifuddin Nasution letak jawatan

 

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini mendedahkan wujud usaha pihak tertentu untuk mengadu domba dan menyebarkan khabar angin kononnya beliau akan melepaskan jawatan kerana menghadapi krisis dengan pemimpin utama PKR dan Pakatan Harapan.

Beliau yang baru pulang ke Kuala Lumpur semalam selepas lawatan 6 hari ke London mengakui dihujani pertanyaan sama ada telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PKR.

“Saya memilih untuk mengeluarkan kenyataan ini sebagai reaksi terhadap persoalan tersebut.

“Walaupun berada di luar negara saya sering berhubung dengan pimpinan utama Keadilan dan Pakatan Harapan. Pimpinan utama Keadilan dan Pakatan Harapan amat maklum akan komitmen saya terhadap parti dan Pakatan Harapan.

“Saya terlibat dengan setiap keputusan parti dan keputusan Pakatan Harapan dan sudah tentu saya patuh dengan semua keputusan yang telah dibuat.

“Khabar bahawa saya ‘meletak jawatan’ dikaitkan dengan saya dikatakan ‘tidak puas hati’ dengan arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang ‘berunding dengan Pas’ dan ekoran daripada itu saya dikecam dan akibatnya saya kecewa, adalah jelas ini satu adu domba daripada pihak yang tidak mahu melihat Keadilan terus stabil dan Pakatan Harapan terus kuat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

{loadposition myposition} Tegas beliau lagi PRK telah berusaha hampir dua tahun mendekati dan menyantuni Pas. Pelbagai usaha dan ikhtiar telah dibuat. Siri-siri pertemuan telah melibatkan Mursyidul Am, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung dan Pengarah Pilihanraya Pas.

Bagaimanapun beliau berpandangan setiap usaha dan ikhtiar harus ada garis masanya supaya ada kepastian dan ini memudahkan semua pihak.

“Usaha dibuat di sebalik keputusan muktamar dan Majlis Syura yang memutuskan hubungan dengan Keadilan. Demikian Keadilan menunjukkan jiwa besar demi mencapai kerjasama terbaik guna mendepani Umno-BN pada pilihanraya umum ke 14.

“Rakyat dapat melihat dengan jelas usaha ini dan rakyat dapat melihat saban hari Pas menunjuk sikap dingin dengan Keadilan dan Pakatan Harapan sebaliknya semakin lunak dengan Umno-Bn.

“Di sebalik latar politik inilah Pakatan Harapan yang Keadilan adalah komponen nya membuat keputusan untuk mengukuhkan kerjasama pakatan menghadapi pilihanraya umum ke14 dan tidak lagi bekerjasama dengan Pas.

“Tatkala Dato Seri Anwar tampil dengan nota dari penjara, Pakatan Harapan telah membuat keputusan. Mengenali beliau secara dekat, Datuk Seri Anwar seorang yang sangat menghormati setiap keputusan yang dibuat secara bersama dan tidak sukar untuk beliau faham kenapa Pakatan Harapan membuat keputusan tersebut.

“Tidak sukar juga dilihat setelah diusahakan demikian lama, Pas tetap memilih jalannya sendiri. Adalah lebih utama Keadilan menumpukan sepenuh usaha dan tenaga membantu mengukuhkan Pakatan Harapan dan menerima hakikat Pas telah ada pilihannya.

“Kenyataan ini saya keluarkan sejurus saya bercakap dengan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menemani Datuk Seri Anwar di mahkamah. Saya maklumkan bahawa komitmen saya bersama Keadilan dan Pakatan Harapan dan khabar saya meletak jawatan adalah TIDAK BENAR.

“Kepada pihak yang berusaha mencipta khabar itu, menyebarkan dan kemudian merayakannya saya maafkan,” terangnya.

CATEGORIES
TAGS