Pengakuan Arul Kanda: KPN, SPRM, Peguam Negara, Menteri Kabinet tolong jawab

Pengakuan Arul Kanda: KPN, SPRM, Peguam Negara, Menteri Kabinet tolong jawab

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendesak supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Peguam Negara dan menteri kabinet menjawab pengakuan Arul Kanda Kandasamy mengenai berlakunya unsur penipuan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata dengan perkembangan terkini yang mana Arul Kanda selaku Presiden /Pengarah Eksekutif 1MDB yang dulunya buat pelbagai penafian salah laku 1MDB telah mengaku ujudnya unsur-unsur penipuan di dalam urus-tadbir syarikat bermasalah tersebut.

“Jadi kini saya nak tanya ketua polis negara, peguam negara, sprm serta semua’ kaki-kaki bodek’ dan menteri-menteri bangang Umno, apa macam?

“Selama ini siapa yang bercakap benar dan siapa yang berbohong dalam kes skandal kewangan yang terbesar di negara kita sudah muncul secara amat jelas.

” Apa macam… Salleh Tun Said Kruak, Azlina Othman Said, Rahman Dahlan, Ahmad Maslan, Tengku Adnan Mansor, Nazri aziz, Mustapha Mohamad, Annuar Musa, Shabery chik, Puad Zarkashi, Shahril Samad, Rahim Tamby Chik, Ketua Pemuda Umno Bahagian Batu Kawan dan beberapa lagi ‘kaki bodek’ pemimpin-pemimpin di dalam Umno.

“Apa yang saya perjuangkan selama ini adalah untuk selamatkan wang kerajaan serta duit rakyat dari diselewengkan. Saya lah yang nak selamatkan ekonomi negara bukan untuk sabotajnya,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Justeru katanya lagi, Najib selaku perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat lembaga penasihat syarikat 1MDB mesti bertanggungjawab dalam kes penyelewengan yang berlaku.

Walaupun apa juga alasan yang  Arul Kanda beri ujarnya, perlu bertanggungjawab .

“Arul Kanda  selama ini telah menipu seluruh rakyat. Mereka yang mengkhianati amanah rakyat mesti diambil tindakan undang-undang tanpa belas kasihan.” ujarnya.

Khairudin berkata dengan  pengakuan daripada Arul Kanda selaku Ketua Eksekutif 1MDB telah membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkannya terhadap 1MDB sebelum ini, adalah betul sehingga beliau didakwa di bawah Akta Sosma pada 2014 lalu.

“Saya telah ditangkap oleh pihak polis dan didakwa di bawah Akta Sosma dan ditahan di lokap Ibu pejabat polis Dang Wangi selama 24 hari seterusnya di penjara Sungai Buloh selama lima minggu.

“Ketua polis negara kata saya ditangkap kerana cuba sabotaj ekonomi negara. Manusia kerdil macam saya pada hakikatnya mampukah nak sabotaj ekonomi negara?

” Orang yang buat laporan polis ditangkap tetapi kalangan yang dilaporkan serta disyaki terlibat dengan unsur-unsur jenayah tidak disiasat,” ujarnya.

Menurut beliau laporan polis yang pernah dibuatnya mengenai 1MBD dua tahun lalu masih lagi tidak mendapat sebarang hasil siasatan dilakukan.

“PDRM dan pejabat peguam negara telah mendakwa saya di bawah akta Sosma sehingga kini pihak pejabat peguam negara masih merayu di mahkamah untuk mengenepikan keputusan mahkamah tinggi yang telah membebaskan saya dari akta itu.

“Kes masih lagi berjalan sehingga hari ini.” ujarnya.

Tidak berdendam

Khairuddin Abu HassanDalam apa jua keadaan sekalipun yang berlaku Khairuddin berkata, beliau tidak menyimpan dendam terhadap kerajaan masa kini.

“Walaupun kerajaan masa kini telah menganiayai saya selama ini saya tidak pernah berdendam malahan amat bersyukur pada Allah SWT yang sedang menunjukkan kebenaran

” Satu demi satu telah terbuka dan kebenaran mutlak akan muncul dalam sedikit masa lagi!! Insya-Allah.

“Walaupun terpaksa merintis pelbagai dugaan serta cabaran yang paling hebat dalam sejarah hidup saya; perjuangan ini akan tetap diteruskan sehingga semua pihak yang terlibat dalam kes skandal 1mdb dan mana-mana penjawat awam yang berkonspirasi untuk melindungi kes penyelewengan kewangan yang terbesar di negara kita ini semuanya ditangkap ataupun tertangkap.

“Sudah sampai masanya keseluruhan rakyat bangun secara sepadu untuk lawan rasuah di negara kita. Rasuah bakal rosakkan keselurahan bangsa, agama dan tanahair kita yang tercinta ini.

“Sebab itulah keseluruhan 30 juta rakyat malaysia kena sokong Deklarasi Rakyat yang ditunjang Dr Mahathir dengan semua pemimpin-pemimpin lain dari pelbagai parti-parti politik, ngo-ngo serta gerakan anak muda kearah untuk Selamatkan Malaysia,” ujar Ahli Jawantan kuasa Sekretariat/Koordinator Pusat Selamatkan Malaysia.

Arul Kanda dakwa media salah lapor

Dalam satu kenyataan baru-baru ini Arul Kanda mendakwa akan kegagalan 1MDB membayar US 1 billion (RM 3.9 billion) kepada IPIC (International Petroleum Investment Company – Abu Dhabi), syarikat yang menjamin hutang 1MDB.

Mengikut IPIC syarikat bernama Aabar PJS Ltd (British Virgin Islands) yang menerima bayaran dari 1MDB bukanlah miliknya walaupun IPIC mempunyai sebuah syarikat dengan nama yang hampir sama, iaitu Aabar PJS Ltd.

Sebaliknya Arul Kanda semalam menafikan beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Arul Kanda dipetik berkata, 1MDB tidak pernah ‘mengaku berlaku penipuan’ sepertimana yang didakwa oleh pelbagai personaliti dan seterusnya disalah lapor oleh media tertentu.

“Apa yang saya katakan ialah, berikutan kandungan kenyataan Pejabat Peguam Negara Switzerland pada 12 April 2016, 1MDB kini terbuka kepada kemungkinan penipuan, itu tidak boleh diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan lapor Bernama.

Semalam Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya juga berkata penipuan yang dilapor oleh media cetak dan elektronik sebelum ini di seluruh dunia diakui benar oleh Arul Kanda. Arul Kanda walaupun akan cuba membetulkan yang salah tetapi benang basah sukar ditegak selepas pengakuan olehnya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengeluarkan kenyataan yang sama di mana beliau mendesak Arul Kanda menceritakan perkara sebenar susulan daripada kenyataanya sebelum meletakkan jawatan.

Dilaporkan, Arul Kanda akan meletakkan jawatannya di dalam 1MDB selepas segala urusannya di dalam syarikat kontroversi itu selesai.

TAGS