Pengambil pekerja oleh majikan tempatan positif walaupun RM terus jatuh

Pengambil pekerja oleh majikan tempatan positif walaupun RM terus jatuh

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Majikan tempatan masih menaruh harapan dan terus positif bahawa pengambilan pekerja akan meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang walaupun ringgit lemah.

Pengarah Urusan Monster.com – Asia Pasifik dan Asia Barat Sanjay Modi, menerusi satu kenyataan berkata pengambilan pekerja akan meningkat meskipun persekitaran ekonomi dunia tidak menentu.

“Menurut Bank Dunia, ekonomi Malaysia berkembang melepasi kadar purata, dan dijangkakan kekal kukuh walaupun kekangan ekonomi serantau.

Sektor yang dijangkakan terus mencatat pertumbuhan paling ketara ialah teknologi maklumat, perkilangan dan runcit,” kata Modi.

Mengenai pengambilan pekerja secara dalam talian di Malaysia, Indeks Monster Employment (MEI) terkini menunjukkan tahap pengambilan secara dalam talian Malaysia yang sebelum ini menyusut, semakin perlahan pada Ogos, yang menunjukkan pemulihan dalam landskap pekerjaan tempatan.

MEI, yang dikendalikan oleh Monster.com, laman pekerjaan dalam talian global, menunjukkan Malaysia mencatatkan penurunan -3 peratus pengambilan tahun ke tahun berbanding Ogos 2016 dan Ogos 2015.

Monster.com berkata walaupu ia kekal dalam pertumbuhan negatif, angka itu merupakan lonjakan 14 peratus berbanding -17 peratus yang dilaporkan pada Julai.

“MEI mencatat pertumbuhan atau penurunan secara menyeluruh dalam pengambilan pekerja secara dalam talian di Malaysia, selain industri dan pekerjaan yang menunjukkan pertumbuhan tertinggi dan terendah dalam aktiviti pengambilan pekerja di peringkat tempatan,” kata Monster.com.

Pada Ogos, sektor Teknologi Maklumat (IT), Penyedia Perkhidmatan Telekom/Internet (ISP) dan Proses Penyumberan Luar Perniagaan/Perkhidmatan Dibolehkan Teknologi Maklumat (BPO/ITES), menyaksikan pertumbuhan tertinggi dari segi pengambilan pekerja daam talian dengan 10 peratus tahun ke tahun.

Angka ini merupakan peningkatan 39 peratus berbanding -29 peratus yang direkodkan antara Julai 2015 dan 2016, dan pertumbuhan tahunan positif pertama sejak Mac 2015.

Sektor minyak dan gas pula mencatatkan pertumbuhan 3 peratus tahun ke tahun, melonjak 19 peratus berbanding -16 peratus yang dilaporkan pada Julai 2016.

Ini merupakan pertumbuhan positif pertama sektor itu sejak 18 bulan lepas.

Pengambilan pekerja dalam sektor perbankan, perkhidmatan kewangan dan insurans (BFSI) tidak berubah, dengan -13 peratus.

Berdasarkan pekerjaan khusus di Malaysia, bakat jualan & pembangunan perniagaan paling banyak ditawarkan secara dalam talian, dengan pertumbuhan 16 peratus tahun ke tahun.

Kumpulan ini menyaksikan pertumbuhan progresif sejak beberapa bulan lepas, dan mencatatkan pertumbuhan 13 peratus dalam pengambilan dalam talian antara Julai dan Ogos.

Profesional khidmat pelanggan paling kurang ditawarkan, dengan -34 peratus penurunan tahunan pada Ogos.

TAGS