Pengangkutan terbaik dunia: PM dinasihat jangan ‘syok sendiri’

Pengangkutan terbaik dunia: PM dinasihat jangan ‘syok sendiri’

Walaupun kajian yang dijalankan World Economic Forum (WEF) meletakkan Malaysia di kedudukan ke-11 terbaik dunia dalam infrastruktur pengangkutan awam dan swasta, namun tinjauan dibuat  Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mendapati 48% pengguna tidak berhasrat menggunakan pengangkutan awam pada masa hadapan.

Dr Dzulkefly Ahmad

Malah kerajaan pimpinan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak perlu menyedari bahawa kepuasan pengguna terhadap pengangkutan awam juga telah merudum sebanyak 13.95% berbanding tahun sebelumnya.

“Ini kerana majoriti rakyat merasakan bahawa kos pengangkutan adalah mahal dan tidak menepati masa mengikut jadual yang dipaparkan,” kata Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam perkembangan berkaitan Dr Dzulkefly menambah, kekhuatiran berlakunya penyelewengan dalam pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini semakin terasa dan beliau mendesak agar KTMB dan Kementerian Pengangkutan mendedahkan segera Laporan Tahunan KTMB bagi tiga tahun yang lalu.

“Ke mana perginya RM11.69 bilion wang rakyat dibelanjakan?” ujar beliau menyentuh peruntukan diberikan kerajaan untuk menaik taraf infrastruktur keretapi negara.

Sehubungan itu, beliau menasihati kerajaan Najib agar tidak ‘syok sendiri’ dan kembali kepada realiti kesusahan yang dihadapi rakyat pada hari ini.

Menurut beliau, komponen pengangkutan adalah penting dalam bakul Indeks Harga Pengguna (CPI) yang terkini melonjak ke paras 5.1% pada bulan Mac lalu — tertinggi sejak 2008 yang mencatat CPI ke tahap 5.8%.

Dr Dzulkefly turut menyarankan kerajaan mengenakan kos pengangkutan yang berpatutan mengikut tahap bebanan ekonomi rakyat.

“Seperkara lagi segera dedahkan laporan tahunan KTMB dan jangan berdolak-daleh lagi,” tegas beliau.

TAGS