Penganjur disaran pujuk Pas sertai perhimpunan Bersih 5

Penganjur disaran pujuk Pas sertai perhimpunan Bersih 5

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penganjur Bersih 5 disarankan memujuk barisan kepimpinan tertinggi Pas untuk sama-sama ikut serta dalam perhimpunan yang dirancang, November depan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, tindakan itu penting untuk himpunan sepenting Bersih.‎

“Pas perlu ikut serta kerana himpunan lepas-lepas, sokongan ahli Pas itu serta penyertaan aktif Pas membuktikan ia memberi kesan besar setidak-tidaknya dari segi jumlah peserta himpunan.

“Perhimpunan sebelum ini tanpa Pas terbukti sedikit sebanyak ia terjejas. Maka, penting untuk mereka memujuk pemimpin tertinggi Pas untuk ikut serta bagi membuktikan perhimpunan ini mendapat sokongan semua pihak dan untuk memberi gambaran ada perpaduan serta kerjasama utuh dalam kalangan pihak terbabit demi agenda Bersih 5 ini,” katanya dipetik laporan Sinar Online hari ini.‎

Sebelum ini, DAP dilaporkan berkata Pas harus menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap matlamat untuk menumbangkan BN termasuk menyertai perhimpunan Bersih 5 bagi menuntut pengunduran Najib.

Setakat ini, Pas masih belum memutuskan penyertaannya dalam Bersih 5 selepas Bersih 2.0 mengumumkan tarikh perhimpunan itu.

Mengulas lanjut, Dr Jeniri berkata, jumlah penyertaan yang terjejas dalam perhimpunan itu akan dimanfaatkan kerajaan sedia ada.

“Sudah tentu ia akan dimanfaatkan kerajaan untuk menyatakan perhimpunan itu tidak mendapat sokongan rakyat. Jadi, sebelum kenyataan sedemikian keluar, maka amat perlu bagi mereka untuk berunding,” katanya.

TAGS