Pengerusi Mais pertahan projek ganti kubah Masjid Negeri

Pengerusi Mais pertahan projek ganti kubah Masjid Negeri

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Projek penggantian kubah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah tidak harus dipertikaikan, tegas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Menurut Adzib, projek itu bukannya satu pembaziran sebaliknya adalah untuk kepentingan umat Islam.

Katanya, ketetapan itu juga mengambil kira peranan Masjid Negeri itu yang selama ini sarat dengan aktiviti keagamaan.

“Di situ jugalah ramai mualaf memeluk agama Islam, jadi bukan isu penggantian kubah itu sebagai satu pembaziran.

“Masjid Negeri itu juga merupakan pusat tumpuan orang ramai, pelancong tidak kira dalam mahupun luar negara,” katanya sewaktu sesi sidang media khas di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, Khamis lalu.

Katanya lagi, pengubahsuaian itu juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana ia memerlukan hasil kerja pakar untuk menjayakannya.

“Sebelum ini, kubah itu mengalami masalah kekotoran yang sukar untuk dibersihkan.

“Kerosakannya penyebabkan pemandangan tidak cantik kepada pengunjung lebih-lebih lagi ia merupakan masjid terbesar di Selangor,” lapor Selangorkini.

Kerja penggantian kubah Masjid Negeri dijangka siap pada 5 Disember tahun ini.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Mas Abdul Rahman Mas Mohamed, berkata kubah baru itu dilengkapi sistem punca air yang pertama seadaanya di dunia.

Katanya, sistem 77 bilangan punca air pada permukaan kubah itu bertujuan memudahkan kerja penyelenggaraan dengan kos RM32.4 juta.

Pihak JKR memilih bahan vitrous enamel yang lebih kemas, ringan dan selamat serta lasak daripada bahan asal untuk kubah terbabit.

Kubah masjid sebelum ini sebahagiannya menunjukkan kecacatan seperti karat yang mungkin disebabkan oleh penggunaan cecair kimia semasa penyelenggaraan.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengkritik projek penggantian kubah yang menelan belanja puluhan juta ringgit itu dan menyifatkannya sebagai satu pembaziran.

TAGS