Pengusaha muda dibebani kenaikan kos berganda kesan GST

Taring pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak 1 April lalu dilihat terus mencengkam golongan muda yang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan termasuk pengusaha butik pengantin dengan kenaikan kos peralatan andaman dan persiapan majlis perkahwinan mencecah lebih 80 peratus.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Haris berpindah menjalankan perniagaan di rumah kerana tidak mampu menanggung kos sewa premis yang naik.Taring pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak 1 April lalu dilihat terus mencengkam golongan muda yang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan termasuk pengusaha butik pengantin dengan kenaikan kos peralatan andaman dan persiapan majlis perkahwinan mencecah lebih 80 peratus.

Situasi getir ini diakui pemilik butik, Harris Zain, 38, dari Cheras, Selangor yang terpaksa mengambil beberapa langkah penjimatan termasuk tidak lagi menyewa premis niaga yang dinaikkan dari RM1,800 kepada RM2,200 selepas beberapa bulan pelaksanaan GST.

“Sekarang, butik saya sudah berpindah di kediaman saya sendiri di Apartment Waja 12, Taman Tun Perak. Saya terpaksa kena jimat kos sebab harga sewa kedai di Jalan Reko, Kajang naik lebih 20 peratus. Mungkin, owner pun kena tempias GST,” ujarnya ketika ditemui Khamis lalu.

Terpaksa bergelut dengan kenaikan kos berganda pelbagai jenis barangan melibatkan busana persandingan, solekan dan dekorasi majlis, Harris yang juga bekas pegawai bank lebih 10 tahun itu, tetap tidak berkompromi dengan kualiti perkhidmatan yang diberi.

“Sejak adanya GST, kenaikan harga memang terasa termasuk barang berkaitan yang kami perolehi daripada pembekal di beberapa lokasi sekitar Lembah Kelang termasuk di Nilai 3. Pelamin, bunga-bungaan, kain untuk buat baju baru, panel dan sebagainya melambung tinggi harganya sampai lebih 80 peratus.

“Pengusaha kecil macam kami memang terasa beban dari segi kewangan. Mahu tidak mahu untuk terus berada dalam bisnes ini, kami terpaksa cari jalan keluar. Jadi, pilihan yang saya ada setakat ini nampaknya perlulah meminimumkan kos upah.

“Mana yang saya mampu, saya buat sendiri. Saya belajar jahit baju pengantin bagi mengurangkan kos upah. Mujur minat juga banyak membantu. Mana yang boleh kita kurangkan (kos),tapi kualiti perlu juga dijaga,” katanya sambil menunjukkan sepasang baju pengantin berwarna hijau yang kemas jahitannya kepada Malaysia Dateline.

Manfaatkan media sosial

Bagi mengatasi peningkatan kos Haris banyak membuat promosi  di laman sosialnya.Tidak berkompromi dengan mutu perkhidmatan yang ditawarkan pemilik Dayang Riss Bridal yang merupakan gabungan nama kakaknya, Dayang Saliza, ini memberitahu, pihaknya banyak berunding dengan pelanggan dengan mengambil kira kemampuan mereka.

“Harga bahan dan barangan yang semakin mahal selepas GST ini menyebabkan kita fobia dengan kata ‘rugi’. Jadi, kena lebih berhati-hati. Saya buat survey terbaik dari segi jenis kain untuk baju dan make up sesuai dengan pakej yang pelanggan pilih,” jelas pemegang diploma bidang perniagaan dari Universiti Malaya ini yang memulakan bisnes dengan pelaburan sebanyak RM3,000 pada 2013.

Menyentuh soal promosi dan pengiklanan, pendekatan butiknya setakat ini bukan lagi melalui pendekatan konvensional sebaliknya pelanggan boleh melihat tawaran promosi bulanan di Facebook Riss Dayang Riss Bridal.

Harris memanfaatkan kerancakan pelbagai jenis media sosial yang menjadi trend masyarakat hari ini dalam mendekati dan memudahkan komunikasi dengan pengguna termasuk laman web dan portal berkaitan pakej perkahwinan.

“Setakat ini tidak edar flyers walaupun kita sedar cara lama pengiklanan itu masih relevan bagi khalayak yang belum mesra dengan alam siber.

“Namun, memandangkan kaitan rapat antara perkahwinan dengan golongan muda, maka kami di Dayang Riss Bridal merasakan promosi di Facebook dan Instagram lebih praktikal dan ekonomik.

“Tawaran kami membolehkan pelanggan melihat baju baru mengikut tema dan design yang mereka inginkan sebelum datang ke premis butik untuk mencuba mengikut saiz badan masing-masing,” ujarnya yang baru-baru ini menerima pelanggan dari anak orang kenamaan berpangkat Datuk.

Menurut anak ketujuh daripada 13 adik-beradik itu, harga terendah pakej yang ditawarkan setakat ini adalah serendah daripada RM1,000 sehingga RM3,999 termasuk set siaraya (PA system).

Lantaran menyedari tekanan bebanan kos sara hidup yang sukar dijangkakan menjelang tahun depan, bekas finalis Hero Remaja 1999/2000 serta pelakon iklan komersial TV dan klip video karaoke ini turut meneroka bidang pengacaraan majlis.

“Alhamdulillah buat masa ini masih lagi ada job tapi saya begitu juga ramai pengusaha berskala kecil ini juga rakyat biasa bimbang sebenarnya dengan keadaan nilai ringgit kita yang tidak stabil. Apa lagi dengan minyak tidak lagi disubsidi kerajaan dan kekerapan kenaikan kadar tol sekaligus meningkatkan kos pengangkutan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Harris berkata, pihaknya juga terbabit dengan pengurusan acara seperti jamuan tahunan, hari keluarga bahkan dua tahun berturut-turut mengendalikan Pesta Sungai Melaka sebagai pengacara majlis.

Ambil kira kenaikan kos pengangkutan

Walau bagaimanapun, jelasnya, perkhidmatannya itu meliputi kawasan sekitar 200 kilometer dari Lembah Kelang dengan caj merangkumi kos pengangkutan dan penginapan.

Sehubungan itu, beliau merayu supaya kerajaan mengawal kenaikan harga petrol dan tol pada tahun hadapan memandangkan golongan pengusaha dan usahawan kecil sepertinya tidak berpendapatan tetap.

“Kami sebagai wedding planner dan pelbagai program lain memang kena banyak bergerak termasuk beberapa event sehingga ke Melaka dan dua bulan lalu di Kluang, Johor. Itu semua melibatkan kos.

“Apapun dalam seminggu, kami hanya ambil dua acara saja supaya dapat memberi servis yang bermutu sekaligus memuaskan hati pelanggan,” kata Harris lagi yang dibantu adik-beradiknya.

Bagi bakal Raja Sehari yang bakal melangsungkan hari berbahagia, hubungi Dayang Riss Bridal melalui WhatsApp kepada 017-2734945 (Harris Zain) atau hubungi 019-3266272 (Dayang Saliza) untuk tawaran pakej perkahwinan berpatutan dan berkualiti.

TAGS