Penyamun salahkan lanun, kritik netizen selepas tirai PAU 2015 dilabuh

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lima hari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi tumpuan sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015, media sosial terus dibanjiri kritikan netizen di media sosial terhadap kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Di Facebook, ucapan penggulungan Presiden Umno itu  semalam, antara yang mendapat perhatian netizen terutama apabila Najib mengaitkan kenaikan tambang kereta api laju (ERL) lebih 50 peratus dengan perjanjian yang ditandatangani pada 1997.

Kenyataan Najib itu sekaligus dilihat pengguna media sosial sebagai menuding jari ke arah Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Perdana Menteri.

“Penyamun salahkan lanun. Tak sedar diri sama-sama duduk dalam satu kapal,” ujar pengguna Facebook,Ramli Bakri.

Manakala Izzhar Mohd secara menyindir berkata, “Najib sedaya upaya laksanakan yang terbaik untuk kesusahan rakyat.”

Menurut Sohadis Musidi pula, rakyat sedia maklum perancangan awal kenaikan tersebut mengambil kira keadaan ekonomi terus memacu negara maju menjelang 2020 dengan pendapatan rakyat yang meningkat.

“Itu tidak salah tetapi semuanya tersekat ketika zaman Najib apabila nilai ringgit jatuh teruk berkait dengan kegawatan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan kesan kerajaan berbelanja mewah.

“Dia (Najib) ada kuasa menentu boleh menangguhkan kenaikan tetapi tak bertindak kerana terdesak kumpul hasil GST (cukai barangan dan perkhidmatan) daripada rakyat dan cukai korporat untuk menampal kerugian 1MDB dan PRU14 (pilihan raya umum ke-14). Cakaplah berterus-terang Najib,” bidas Sohadis lagi.

Mengulas dakwaan Najib, kononnya beliau menghalang kenaikan tambang ERL sehingga tambang kekal pada harga sama selama 14 tahun tetapi dengan jumlah pampasan kepada syarikat konsesi sebanyak RM2.9 bilion, pengguna Facebook turut membandingkan timbunan hutang sepanjang pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri sejak 2009.

“Pampasan RM2.9 bilion dalam masa 14 tahun jauh lebih baik daripada hilang RM42 bilion dalam tempoh enam tahun. Wang RM2.9 bilion berkitar semula dalam negara.

“Rakyat boleh menikmatinya dalam pelbagai cara sama ada secara langsung mahupun tidak langsung tapi RM42 bilion entah ke mana seperti sengaja digelapkan, negara kehabisan tunai, ekonomi tenat dan rakyat menderita ditindas,” ujar Raziq Firdaus.

Sementara itu, Zed Edy pula berkata, “Sampai sekarang aku tidak percaya dia (Najib) ini PM (Perdana Menteri) Malaysia. Macam Maharaja Lawak Astro. Kalau perjanjian cakap naik setiap lima tahun tetapi semua PM sebelum ini berjaya kekalkan (harga), tiba kat kau (Najib) tak mampu kekal dah tu terus naik mendadak.”

Najib dalam sesi ucapan penggulungannya semalam menyebut perjanjian konsesi jangka panjang ERL yang dikuasai syarikat YTL itu sebagai berat sebelah dengan kadar kenaikan tambang setiap lima tahun berdasarkan trafik jangkaan.

Dalam hal berkaitan, blogger pro Najib mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan itu kerana berjaya menguburkan legasi Penyedia Tenaga Bebas (IPP) ciptaan Tun Mahathir melalui penamatan perjanjian pembelian tenaga dengan YTL yang paling berat sebelah pada 30 September lalu.

Blog miazarraannur.blogspot.my dalam entrinya bertajuk, “Berkuburnya kezaliman IPP milik YTL ciptaan Tun M untuk menjaga kroni?” antara lain menyebut langkah 1MDB yang penubuhannya diilhamkan oleh Najib membeli beberapa IPP tersebut sekaligus menamatkan kerakusan syarikat ‘tycoon’ Cina YTL yang telah mengaut wang percuma selama 21 tahun.

“Ia perjanjian paling kejam kerana TNB dipaksa membeli tenaga dengan harga paling mahal daripada IPP YTL yang menyebabkan tarif elektrik di Malaysia mahal dan membebankan rakyat. Beli tetap kena beli walaupun tidak digunakan,” dipetik di blog tersebut.

TAGS