Penyatuan PAS-Umno buka tirai tahun baharu 2016?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tirai tahun baharu 2016 dilihat bakal dibuka dengan usaha penyatuan kedua-dua parti politik terbesar Melayu yang sedang dirintis melalui Mesyuarat Jawatankuasa Penaja PAS-Umno.

Jurucakap jawatankuasa itu, Prof Madya Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul memberitahu pertemuan berkala antara PAS-Umno dijangkakan akan berlangsung pada 30 Disember ini.

“Kita sudah senaraikan mungkin dalam 30 ahli, asas pemilihan ialah mereka yang boleh diterima oleh Pas dan Umno,” ujarnya dipetik dari Sinar Online hari ini.

Menurut Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WAAGM) itu, pihaknya akan meletakkan batu asas yang kuat bagi mengharmonikan hubungan PAS-Umno melalui skop dan perjalanan aktiviti yang akan dibincangkan nanti.

Mengulas tentang keanggotaan ahli jawatankuasa berkenaan, beliau berkata, mereka terdiri daripada ahli akademik dan profesional dan tidak melibatkan ahli parti politik sama ada daripada PAS mahupun Umno.

Pembentukan satu jawatankuasa penaja untuk mengadakan pertemuan berkala antara PAS dan Umno itu antara tujuh resolusi yang dimuktamadkan dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia minggu lalu.

Cadangan tersebut pada mulanya diketengahkan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Johan Jaaffar yang menjadi moderator forum Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi sempena multaqa tersebut.

TAGS