Perak Maju 2018: Zambry ‘syok’ sendiri

Perak Maju 2018: Zambry ‘syok’ sendiri

Semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak pada 25 November 2011, Kerajaan Negeri telah meuar-uarkan bahawa program transformasi yang dilaksanakan di bawah pelan Perak Aman Jaya telah dapat mencapai matlamat sasaran Perak Maju 2018.

Namun, Menteri Besar Negeri Perak Datuk Seri Diraja Dr Haji Zambry Abd Kadir semasa menjelaskan perkara tersebut berkata walaupun sasaran awal Perak Maju 2015 telah dilihat semakin kabur dan terpaksa dikaji serta dinilai semula berdasarkan keadaan ekonomi semasa ketika itu, namun beliau yakin perkara tersebut dapat diatasi dan tidak menjejaskan sasaran memjadikan negeri Perak maju menjelang 2018.

Sebenarnya Datuk Seri Zambry terlalu banyak berimaginasi dan wataknya yang suka memberikan berbagai-bagai cadangan seolah-olah beliau tidak duduk ‘dibangku’ kerusi utama Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak dan sebagai ‘orang’ nombor satu di Negeri Perak.

Saya telah membuat sedikit kajian berkaitan berbagai-bagai cadangan yang sekadar menjadi lontaran Datuk Seri Zambry untuk menghiasi propaganda media dalam negara kita.

1. Pada bulan September 2010 yang lalu Datuk Seri Zambry ‘mencadangkan’ perkhidmatan kereta api menghubungkan Ipoh-Lumut diwujudkan yang akan berupaya membawa lebih ramai pelancong ke Zon Pelancongan Lumut-Pangkor. Apa dah jadi dengan cadangan ini?

2. Pada bulan Mei 2010, Datuk Seri Zambry selepas menyaksikan majlis menandatangai Perjanjian Persefahaman antara BMT Jelas dan ELAF Bank Bahrain ‘membayangkan’ sebuah lebuh raya baru bakal dibina. Lebuh raya ini adalah dari Ipoh ke Selama di sempadan Perak/Kedah dan bersambung ke Lebuh Raya Kulim-Sungai Petani, bermula di Jelapang dan dilengkapi dengan susur keluar di Sungai Siput, Karai, Kati, Anak Kurau, Batu Kurau dan berakhir di Selama. Apa dah jadi dengan cadangan ini?

3. Datuk Seri Zambry telah ‘mencadangkan’ kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBSM) pada bulan Mei 2011, untuk mewujudkan sekolah sukan berasrama penuh di negeri ini yang lengkap dengan segala kemudahan khas bukan sahaja untuk atlet biasa malah kepada atlet paralimpik dengan jangkaan kos sekitar RM 100 juta. Apa dah jadi dengan cadangan ini?

4. Pada bulan Mac 2012, beliau turut ‘mencadangkan’ bagi mewujudkan jawatan Konsul Negara Brazil di negeri ini bagi mengukuhkan hubungan diplomatik antara Brazil dengan Malaysia terutama dalam sektor pelaburan. Cadangan tersebut dilontarkan kepada Kementerian Luar Negeri Malaysia (KLNM) kepada pemberita selepas merasmikan Bank Al Rajhi cawangan Ipoh kerana Brazil merupakan pelabur terbesar bagi Perak dengan pelaburan projek bijih besi Vale SA International. Apa dah jadi dengan cadangan ini?

5. Datuk Seri Zambry turut ‘mencadangkan’ kepada Kementerian Pertanian Malaysia (KPM) pada bulan Jun 2014 bagi menaik taraf Ladang Infoternak Sungai Siput jadikan Ladang Infoternak Pusat Agro Tourism agar ianya terus subur di situ. Apa dah jadi dengan cadangan ini?

6. Pada bulan April 2016, atas usaha sendiri Kerajaan Negeri Perak akan ‘mencadangkan’ untuk menambah lagi pembinaan litar lumba selepas litar Formula 2 Simpang Pulai siap untuk siri kejuaraan F2 (Formula 2). Litar tersebut juga boleh digunakan untuk orang ramai sebagai tambahan pada litar lain yang akan dibina di Perak kelak dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan masalah lumba haram. Apa dah jadi dengan cadangan ini?

7. Pada bulan Julai 2017, beliau telah melontarkan ‘cadangan’ kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (KPM) dan ‘membayangkan’ Perak bakal membina sebuah lapangan terbang baharu bagi merancakkan lagi sektor pelancongan dan industri di seluruh negeri ini. Datuk Seri Zambry berkata ketika bersiaran secara langsung selama dua jam dalam segmen Selamat Pagi Menteri Besar di Radio Perak FM yang dikatakan akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) nanti. Apa dah jadi dengan cadangan ini?

8. Lagi ‘cadangan’ kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia (KSASM) pada bulan Ogos 2017 yang lalu untuk mempertimbangkan Pulau Jarak yang terletak di sempadan perairan Malaysia dan Indonesia diwartakan sebagai taman laut. Pulau Jarak juga merupakan kawasan keselamatan yang dipantau pihak berkuasa, malah kawasan itu juga merupakan kawasan yang strategik. Apa dah jadi dengan cadangan ini?

9. Khusus kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) pada bulan Mac 2017 ‘dicadangkan’ Pusat Pertanian Titi Gantung, Bota dinaik taraf menjadi pusat pengajian dan penyelidikan yang diletakkan di bawah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Konsep universiti yang kita boleh wujudkan merupakan satu konsep universiti di mana tempat-tempat dan pusat latihan yang diwujudkan Kerajaan Persekutuan boleh dijadikan sebagai kolej universiti dan diletakkan di bawah USAS. Apa dah jadi dengan cadangan ini?

10. Berita gembira pada Perbentangan Bajet tahun 2018 Negara pada 27 Oktober 2017 mengumumkan bahawa Pulau Pangkor diisytihar pulau bebas cukai disambut gembira oleh Datuk Seri Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kawasan Pangkor. Namun sebelum itu, pada bulan Jun 2013 Datuk Seri Zambry telah ‘meuar-uarkan’ bahawa dua kawasan sebagai Kawasan Bebas Cukai iaitu Pulau Pangkor dan Pengkalan Hulu tetapi hanya satu sahaja yang diluluskan.

Kalau ikut cadangan, bayangan dan syor, Datuk Seri Zambry memang yang ‘terbaik’ sebagai seorang pemimpin namun jika semua itu tidak disambut dan tidak dilaksanakan maka dengan mudah akan keluar dari mulut beliau “saya cuma lontarkan, bukan saya yang luluskan”. Beliau memang kaya dengan cadangan semata-mata.

Datuk Seri Zambry memang ‘layak’ menjadi Menteri Kabinet dan bukan sebagai Menteri Besar kerana apa yang dilontarkan dan dicadangkan adalah semuanya dalam bidang kuasa Kementerian. Ini tidak pula ‘disanggah’ yang menghasilkan Perak Maju sepertimana yang dicanangkan kepada rakyat Perak. Beliau mungkin dahagakan liputan media bagi menaikkan imej beliau sebagai seorang pemimpin hebat bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat nasional. Berbanggalah rakyat Perak.

# Penulis adalah Setiausaha AMANAH Negeri Perak

CATEGORIES