Perbicaraan kes kematian menantu TPM  ditetapkan Januari 2017

Perbicaraan kes kematian menantu TPM ditetapkan Januari 2017

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perbicaraan kes seorang doktor perbidanan dan sakit puan (O&G) yang didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan kematian menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa mendapatkan rawatan gigi Jun lalu, ditetapkan lima hari bermula 23 hingga 27 Jan 2017.

Hakim Zaman Mohd Noor menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar yang memohon satu tarikh baharu bagi menyediakan beberapa dokumen berkaitan kes itu yang akan digunakan bagi membantu perbicaraan.

Shukor berkata antara dokumen yang akan diserahkan kepada pihak pembelaan ialah dua laporan daripada farmaseutikal dan satu set yang mengandungi 36 keping gambar di tempat kejadian.

Beliau memaklumkan bahawa pihak pendakwaan juga telah menyerahkan 32 dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan.

Peguam Dev Kumaraendran yang mewakili Dr Ting Teck Chin, 36, mengesahkan perkara tersebut dan mahkamah menetapkan 11 Nov depan sebagai tarikh pengurusan kes dan serahan dokumen.

Pada 12 Ogos lepas, Dr Ting yang memberi perkhidmatan bius secara sambilan di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, 44, dengan mengetahui bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Dr Ting, yang bertugas di Jabatan O&G di Hospital Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 & 64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, 1 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah berasingan Hakim Hamri Thamri Mohamad @ Shaharudin menetapkan 11 Nov depan untuk pengurusan kes bagi pusat pakar pergigian Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd atas sembilan pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain.

Pengarah syarikatnya Dr Wong Yen Ling yang mewakili pusat pakar pergigian itu juga mengaku tidak bersalah ketika pendakwaan pada 12 Ogos lepas.

TAGS