Perhimpunan haram: S/U Pengelola PKR Perak didakwa sekali lagi

Perhimpunan haram: S/U Pengelola PKR Perak didakwa sekali lagi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak Mohammad Anuar Zakaria hari ini sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganjurkan perhimpunan haram tiga tahun lalu.

Mohammad Anuar, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

Bekas Setiausaha PKR Perak itu didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh dalam tempoh 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan pada 12 Mei 2013 di hadapan pejabat PKR, No 10, Jalan Medan Istana di sini kira-kira pukul 7.30 malam.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Ikmal Hishan menetapkan 18 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Anuar Musa dan Madhi Hasan.

Sebelum ini, Mohammad Anuar didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 27 Mei 2013 atas tuduhan sama dan pada 28 April 2014, permohonan supaya pertuduhan terhadap beliau digugurkan serta beliau dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan itu ditolak oleh mahkamah.

Pada 16 Mei 2014, Mahkamah Sesyen Ipoh melepaskan tanpa membebaskan beliau daripada tuduhan menganjurkan perhimpunan awam tanpa notis.

Hakim Rushan Lufti Mohd dalam penghakimannya ketika itu berkata keputusan tersebut dibuat kerana terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang menyatakan syarat notis 10 hari mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai bertentangan dengan Perlembagaan.

Jumaat lalu, Anggota Parlimen Ipoh Timur Thomas Su Keong Siong, 50, didakwa di mahkamah sama atas tuduhan menganjurkan perhimpunan haram pada 9 Mei 2013.

TAGS