Perkasa pentadbiran Mahkamah Syariah sebelum tingkat kadar hukuman

Perkasa pentadbiran Mahkamah Syariah sebelum tingkat kadar hukuman

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pentadbiran Mahkamah Syariah perlu diperkasakan terlebih dahulu sebelum meminda Akta 355 Mahkamah Syariah untuk meningkatkan kadar hukuman, tegas timbalan pengerusi biro undang-undang Amanah (Kanun) Wan Anwar Wan Ibrahim.

Cadangan pindaan Akta 355 adalah untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000, dan enam kali sebatan syar’ie.

Wan Anwar berkata,  dalam meningkatkan hukuman jenayah syariah, semua aspek perlu dilihat seperti pentadbiran, perjawatan dan pendakwaan yang boleh menyumbang ke arah pemerkasaan mahkamah syariah.

“Kesalahan-kesalahan jenayah yang ada sekarang pun seperti judi, ingkar perintah mahkamah dan bawa lari perempuan yang bersuami yang kita percaya terlalu banyak berlaku tapi tak didakwa sebab siasatan yang lemah.

“Itu belum sebut lagi tentang prasana untuk kuatkuasakan hukuman seperti tak ada penjara (khusus bagi pesalah) syariah, tukang sebat yang cukup dan terlatih, ‘workload’ (beban tugas) hakim yang terlalu banyak dan ‘security of tenure’ untuk hakim-hakim,” kata beliau dalam forum ‘Benarkah Pindaan RUU 355 Memperkasakan Mahkamah Syariah?’ di Rumah Gerak Budaya, Petaling Jaya malam tadi.

Menurut beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, setinggi manapun hukuman ditingkatkan tetapi jika masalah prasarana dan prosedur tu sendiri tidak diperkuatkan, Mahkamah Syariah tidak dapat diperkasakan dan keadilan juga tidak dapat dicapai kerana kelemahan-kelemahan yang tidak diatasi.

“Bila kita nak laksanakan undang-undang Syariah ni, baik mal ataupun syariah,  kita nak capai dua jenis keadilan iaitu ‘subtantive justice’ dan ‘procedural justice’.  

“Dua-dua keadilan ini membawa kepada keadilan yang hakiki. Keadilan itu sendiri adalah salah satu cabang daripada Maqasid Syariah yang dipelopori oleh Ibnu ‘Asyur ulama daripada Tunisia. Keadilan hakiki tak boleh tercapai jika salah satu keadilan tak tercapai,” katanya.

Turut menjadi panel dalam forum tersebut ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff dan peguam William Leong yang juga ahli Parlimen Selayang sementara ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Dr Siti Mariah Mahmud yang juga ahli Parlimen Kota Raja sebagai moderator.

TAGS