Perkasakan Mahkamah Syariah bukan hanya tingkatkan hukuman, jelas Dr Mujahid

Perkasakan Mahkamah Syariah bukan hanya tingkatkan hukuman, jelas Dr Mujahid

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menyelesaikan isu pertindihan dengan Mahkamah Sivil antara langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah selain hanya meningkatkan hukuman, kata Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menurutnya, makna pemerkasaan institusi itu tidak boleh disempitkan dengan meningkatkan hukuman semata-mata tanpa melihat banyak kelompongan pentadbiran perundangan Mahkamah Syariah.

“Mempertingkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah juga bermakna perlu ditingkatkan hierarki Mahkamah Syariah yang hari ini hanya ada tiga peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Raya Syariah berbanding dengan Mahkamah Sivil yang ada lima peringkat,” ujarnya dipetik daripada artikel beliau di akhbar Amanah minggu ini.

Penjelasan Ahli Parlimen Parit Buntar dalam lebih tiga halaman di akhbar rasmi Amanah itu ekoran reaksi awam terhadap laporan berkaitan respon Mujahid berkenaan tulisan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang cadangan pindaan Akta 355.

“Saya hanya bertindak sebagai Ahli Parlimen Muslim yang perlu membuat penjelasan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebagai sebahagian pentadbiran agama, posisi dan sikap saya dari sudut teknikal dan pentadbiran demokrasi berparlimen supaya tidak mudah kita membuat satu rumusan tanpa menelitinya terlebih dahulu,” jelasnya.

Terdahulu, Dr Zulkifli melalui pendapatnya dalam Bayan Linnas terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan semua ahli parlimen beragama Islam tanpa mengira parti wajib menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang diusulkan Presiden Pas pada perbahasan Parlimen sesi akan datang.

Bagaimanapun, Dr Mujahid berkata, reaksinya itu atas isu teknikal dan pentadbiran yang berkaitan secara langsung dengan kedudukannya sebagai ahli legislatif manakala kedudukan Dr Zulkifli dalam pentadbiran agama.

“Kami dilantik oleh rakyat untuk berbahas, meneliti dan melihat implikasi lebih besar pada kerangka perlembagaan yang kami bersumpah untuk mempertahankannya. Sebagai pentadbir agama, prosedur ini perlu difahami dengan jelas,” tambahnya lagi.

Dapatkan naskhah akhbar mingguan Amanah, Edisi ke-17, 18-24 September di pasaran sekarang untuk mengikuti huraian terperinci Dr Mujahid berkenaan isu ini.

TAGS