Perlombongan bauksit: Sifat tamak pinggirkan kesan buruk alam sekitar

Perlombongan bauksit: Sifat tamak pinggirkan kesan buruk alam sekitar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Keputusan kerajaan menangguhkan tiga bulan segala aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan bermula 15 Januari lalu sudah pasti memberikan kelegaan kepada penduduk daerah itu sekurang-kurangnya buat sementara waktu.

Selepas lebih setahun berhadapan dengan masalah pencemaran alam sekitar yang menjejaskan kesihatan dan aktiviti seharian penduduk di sekitar daerah itu, moratorium yang dikenakan dilihat langkah terbaik bagi memberi peluang kepada pihak berwajib menjalankan kajian ke atas aktiviti perlombongan mineral ini dan meredakan tekanan yang dihadapi penduduk.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga pengerusi Gabungan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit sejak Oktober 2015 antara individu yang gembira dengan keputusan kerajaan itu.

Beliau yang sebelum ini lantang menentang operasi pengilangan nadir bumi oleh syarikat Lynas di Gebeng, Kuantan kini membantah aktiviti perlombongan bauksit secara haram di daerah sama.

Walaupun aktiviti ini dihentikan sementara waktu, Fuziah akan terus memastikan kerajaan mematuhi rancangan yang ditetapkan sepanjang tempoh tiga bulan dan masalah yang sama tidak akan dihadapi penduduk.

Beliau tidak menolak kepentingan bauksit untuk ekonomi namun kesal apabila ia dieksploitasi semata-semata untuk mendapatkan keuntungan tanpa mengambil kira kesan ke atas penduduk setempat.

Fuziah bersama gabungan 20 pertubuhan bukan kerajaan seperti Sahabat Alam Malaysia, Himpunan Hijau dan Malaysian Nature Society, giat mencari lebih banyak bukti kesan negatif bagi mencari langkah-langkah pencegahan.

Usaha yang dilakukan sehingga ke tahap mengutip sampel ikan mati yang ditemui di pesisir Sungai Balok dan Sungai Tonggak bagi mengesan mendapan bauksit dalam badan ikan yang mengakibatkan kematian hidupan sungai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah Andansura Rabu dari Pas turut menentang aktiviti perlombongan bauksit.

Beliau menegaskan, kerajaan perlu melakukan kajian faedah dan risiko berkaitan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit sepanjang fasa moratorium.

Beliau secara tegas mahu aktiviti ini dihentikan terus jika hasil kajian mendapati aktiviti ini memberikan risiko lebih besar kepada alam sekitar berbanding faedah yang akan diperolehi.

Andansura turut berpandangan, fasa tiga bulan moratorium adalah singkat untuk kerja-kerja pemulihan alam sekitar.

Walaupun moratorium yang dikenakan dianggap langkah prorakyat, namun ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan agar semua pihak mendapat manfaat daripada hasil bumi di negara ini.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman yang  terkenal dengan perjuangan membela nasib peneroka lebih mengutamakan kesan ke atas golongan ini selepas perlombongan ini dihentikan.

Beliau berkata, keputusan kerajaan itu akan memberi kesan kepada peneroka memandangkan industri bauksit dianggap sebagai sumber pendapatan alternatif kepada mereka.

Beliau mahu fasa tiga bulan moratorium ini digunakan semaksimum mungkin oleh pihak berwajib bagi memperbaiki pelbagai kelemahan berkaitan operasi melombong dan mengangkut bauksit di Kuantan. 

Mazlan mahu kerajaan mencari jalan terbaik bagi meneruskan aktiviti perlombongan bauksit tanpa mendatangkan kesan buruk kepada penduduk dan alam sekitar.

Beliau optimis industri bauksit boleh menjadi alternatif kepada sumber pendapatan rakyat jika dibangunkan dengan betul dan mengikut prosedur.

Justeru beliau menegaskan, kerajaan perlu membasmi pengeluaran lesen perlombongan secara haram dan melakukan aktiviti ini mengikut prosedur yang ditetapkan.

Katanya, kelemahan penguatkuasaan akan menafikan faedah industri bauksit kepada penduduk setempat.

Menurut Mazlan, masalah yang timbul tidak harus dijadikan sebab untuk menutup periuk nasi peneroka.

TAGS