Permatang Pauh terus kekal di tangan Pakatan Harapan, kata Wan Azizah

Permatang Pauh terus kekal di tangan Pakatan Harapan, kata Wan Azizah

 

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

Selain daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir dijangka mampu dikekalkan oleh Pakatan Harapan sekali lagi.

Keyakinan ini diluahkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa meraikan lebih 5000 hadirin yang membanjiri Rumah Terbuka Parlimen Permatang Pauh dan Dun Seberang Jaya di padang Taman Pauh kelmarin.

Menurut beliau lagi, kubu kuat PKR yang telah diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap dipertahankan kerana ia merupakan tapak permulaan perjuangan reformasi sehingga berjaya menjadi ketakutan Umno dan Barisan Nasional (BN) hingga kini.

“Kemenangan PKR dan Pakatan Harapan adalah sesuatu yang amat menjadi harapan menggunung rakyat yang inginkan perubahan.

“Rakyat semakin tertekan dengan pelbagai birokrasi, ketirisan, pemborosan dan kleptokrasi yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Umno dan BN kini.

“Oleh kerana itu kepimpinan yang menyiksa rakyat melalui pelbagai polisi mereka yang lemah dan menekan tidak harus dibiarkan berterusan, ” jelasnya.

Katanya lagi, pengundi Parlimen Permatang Pauh sedia maklum mengenai pelbagai kebobrokkan yang menjadi amalan pemimpin kerajaan sedia ada.

Dalam pilihan raya umum ke-13lalu menyaksikan Anwar berjaya menewaskan calon BN dengan majoriti 13,388 undi.

Manakala kerusi Dun Seberang Jaya dan Penanti dimenangi oleh PKR dan kerusi Permatang Pasir dimenangi oleh calon Pas, Datuk Mohd Salleh Man.

Sementara itu pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh pada 2015 menyaksikan sekali lagi kemenangan kerusi Parlimen itu oleh Dr Wan Azizah.

Dalam PRK ituWan Azizah berjaya mengekalkan sekali lagi kemenangan yang pernah dimenangi oleh Anwar apabila berjaya memperolehi majoriti 8841 undi.

Sekali gus kemenangan yang berjaya dikekalkan oleh beliau menangkis segala dakwaan bahawa kerusi Parlimen Permatang Pauh akan kecundang dan jatuh ke tangan BN.

TAGS