Permit akhbar Amanah lulus: Rakyat dapat lebih akses maklumat telus

Permit akhbar Amanah lulus: Rakyat dapat lebih akses maklumat telus

Kelulusan permohonan permit penerbitan akhbar Amanah membolehkan rakyat mendapat lebih banyak akses maklumat yang tepat, adil dan bertanggungjawab, kata Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Anuar Tahir.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Anuar TahirKelulusan permohonan permit penerbitan akhbar Amanah membolehkan rakyat mendapat lebih banyak akses maklumat yang tepat, adil dan bertanggungjawab, kata Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Anuar Tahir.

Menurut beliau, surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertarikh 1 Mac lalu yang memaklumkan perkembangan permohonan tersebut amat disambut baik kerana meraikan kepelbagaian akhbar sedia ada di pasaran.

“Mulanya kami menghantar permohonan pada 12 Januari tapi disebabkan ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi, ‘mock up’ kedua dihantar kepada KDN, 2 Februari lepas.

“Alhamdulillah, semalam kita mendapat surat dari KDN memaklumkan kelulusan permit akhbar Amanah. Kita bersyukur kerana proses kelulusan tidak memakan tempoh panjang.

“Kelulusan ini dinanti-nantikan kerana penerbitan tanpa permit menimbulkan banyak masalah termasuk rasa takut dalam kalangan pengedar dan penjual,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berharap lebih banyak laporan berdasarkan maklumat tepat dapat sampai kepada pengetahuan segenap lapisan masyarakat secara telus termasuk penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Akhbar ‘Amanah’ ialah suara rasmi parti Amanah. Rakyat berpeluang untuk tahu lebih lanjut mengenai kesungguhan dan iltizam Amanah dalam merintis perubahan lebih baik dan sejahtera buat semua orang.

“Selain perkembangan pelbagai isu semasa dalam negara, kita akan berusaha untuk menyampaikan pandangan dan maklumat Amanah sebagai parti siasah yang sah,” beritahunya lagi.

Hormat kebebasan media

Mengulas lanjut tentang kedudukan Malaysia dalam soal media, Anuar berharap Putrajaya sentiasa menghormati kebebasan media dalam membenarkan penyaluran maklumat yang benar kepada rakyat sesuai dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Paling penting kebebasan media yang mesti dihormati oleh pihak pemerintah. Kita pun tahu kedudukan Malaysia di dunia dalam kebebasan media bukanlah satu yang boleh dibanggakan.

“Pihak pemerintah harus meneliti semua beberapa akta drakonian seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi serta peruntukan lain berkaitan keselamatan dalam negeri.

“Segala peruntukan itu tidak harus diguna untuk mengugut atau mendera media termasuk elektronik dan media sosial yang kritis terhadap parti pemerintah,” tegasnya yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pas.

Menekankan perlunya kerajaan menghormati kepelbagaian akhbar mahupun portal berita ‘online’, Anuar berkata, percambahan fikiran selagi tidak berunsurkan fitnah melahirkan masyarakat yang matang dan demokratik.

“Pada ketika akhbar Amanah cuba menyalurkan maklumat yang tepat dan adil, kerajaan dapat memperbaiki status Malaysia dalam soal kebebasan media.

“Saya sendiri selaku Setiausaha Agung Amanah yang bertanggungjawab memohon permit akhbar parti ini, dengan kemampuan yang kita ada akan melaksanakan jurnalisme yang bertanggungjawab dan mengutamakan kepentingan rakyat,” jelasnya.

Sehubungan itu, Anuar menyeru pihak editorial yang mengelolakan akhbar tersebut sentiasa berhemah dalam menulis laporan bagi mengelak perkara tidak bermanfaat kepada perkembangan dan pembangunan akal fikiran rakyat.

“Kita tidak mahu menjadi sebahagian akhbar lain yang hanya mementingkan isu sensasi murahan atau pun semata-mata dipenuhi propaganda tidak menguntungkan rakyat.

“Akhbar Amanah akan berusaha memastikan laporan pemberitaan yang menyalurkan fikiran sihat, matang dan menyumbang kepada kesejahteraan negara,” tambahnya lagi.

TAGS