Perpaduan palsu Malaysia

Perpaduan palsu Malaysia

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tanggal 28 Februari 1991 merupakan satu tarikh keramat apabila Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad telah meluncurkan sebuah gagasan atau matlamat buat negara tercinta ini yang akan dituai hasilnya 3 dekad selepas pengumumannya. Hala tuju yang dinamakan sebagai Wawasan 2020 ini bukanlah sebuah dasar khusus tetapi sebagai persediaan Malaysia kepada kemajuan yang bakal menuntut perubahan kepada tanah air ini dari sudut ekonomi, sosial dan politik.

Model yang ingin diketengahkan dalam Wawasan 2020 adalah negara Malaysia akan mencapai taraf negara maju dalam kerangka dan acuannya sendiri. Sehubungan itu satu garis panduan telah dirangka bersama-sama dengan 9 cabaran yang perlu diselesaikan setiap daripadanya menjelang tahun 2020.

Cabaran yang disenaraikan seharusnya tidak dipandang enteng oleh rakyat Malaysia. Dengan meletakkan perihal pembinaan bangsa yang satu atas nama bangsa Malaysia dalam cabaran pertama, ini menonjolkan peri pentingnya perpaduan menjadi antara syarat untuk mencapai tahap negara maju.

Penulis suka untuk berkongsi dengan pembaca tentang cabaran awal yang terkandung didalam Wawasan 2020 dan ia dicatatkan seperti berikut:

“Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.”

Mengapa perlunya seluruh kaum atau bangsa itu bersatu atas nama perpaduan nasional yang perlu direalisasikan oleh seluruh isi bumi Malaysia sebagai prasyarat untuk diangkat sebagai negara maju? Jawapannya seluruh faktor ekonomi, sosial dan politik perlu diselaraskan bersama dari sisi falsafah dan perlaksanaanya untuk menghasilkan kesan yang sukar diganggu gugat oleh mana-mana pihak sekali pun.

Melalui Wawasan 2020, kemajuan yang ingin dituju diukur menerusi 2 indeks pencapaian iaitu maju ekonomi dan maju masyarakat. Jika hanya maju ekonomi sahaja yang dipenuhi kriterianya tetapi tidak pada maju masyarakat maka ia tempang. Atau dengan pengertian lebih mudah dan tuntas, maju masyarakat dan maju ekonomi perlu diselesaikan untuk melengkapi matlamat Wawasan 2020.

Seperti yang telah penulis kongsikan di atas dalam cabaran pertama Wawasan 2020 yang mahu diwujudkan sebuah bangsa Malaysia, di sana kelihatan ada pasang surut perbincangan berkait dengannya. Persoalan yang lebih spesifik untuk penulis lontarkan dan diangkat sebagai sebuah perbincangan ialah, apa mekanisme terbaik untuk perpaduan ini dapat diterap dan dipupuk?

Kata Melayu duluan, melentur buluh biarlah dari rebungnya, nak ajar anak biarlah ketika ubun-ubunnya masih lembut.

Bagi penulis, idea memperkasa perpaduan ini harus bermula dari zaman persekolahan adalah sesuatu yang punya merit yang perlu dihamburkan kredit buatnya. Di saat anak kecil yang hatinya bak nirmala, segalanya mudah untuk diwarnai dengan tona warna anak bangsa Malaysia.

Ayuh kita telusuri apakah matlamat yang telah dirangka didalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”.

Jelaslah kita bahawa pendidikan itu adalah antara medium paling penting untuk membina jatidiri bangsa Malaysia yang tulen bukan seperti yang dilakonkan oleh kebanyakan pihak hari ini. Kata-kata yang ditutur oleh pimpinan negara dan wakilnya di bawah tidak pun diaplikasikan sepenuhnya dalam tindakan mereka dilapangan.

Ada yang masih membentak akan persoalan bangsa kerana terbuai dengan provokasi sentimen bangsa dan agama yang tidak difahami akan semangatnya. Jelas apa yang disebut dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan sengaja atau tidak dicabul semata-mata untuk memenuhi kepentingan segelintir pihak.

Kegagalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dilayan sebaiknya oleh instrumen kerajaan yang terlibat mampu dilihat hasilnya hari ini. Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan untuk tahun 2013 hingga 2025, Malaysia berhajat mencapai 5 keberhasilan teras pendidikan. Dalam teras-teras tersebut juga telah meletakkan perpaduan antara faktor penentu kejayaan sistem pendidikan kita.

Penulis membaca sebuah buku yang mengupas perihal teras perpaduan dari lensa Pelan Pembangunan Pendidikan. Penulis buku tersebut menyatakan:

“Murid seawal sekolah rendah hingga tamat persekolahan di peringkat sekolah menengah, mereka semua menghabiskan lebih satu perempat masa mereka didalam “pagar” sekolah. Maka yang demikian sekolah mempunyai peranaan sebagai takungan mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan mereka (murid). Interaksi yang terjalin walaupun berbeza latar agama atau etnik dan sosioekonomi, mereka secara langsung belajar memahami, menerima dan menghayati perbezaan. Justeru akan timbul perkongsian pengalaman dan pandangan dapat dibina”.

Ini membuktikan sekolah merupakan “rahim” untuk melahirkan perpaduan yang sejati. Namun beberapa polisi atau sistem yang diamalkan selama ini sebahagiannya telah menafikan hak murid yang berkait dengan kesamarataan peluang pendidikan, akhirnya perpaduan itu menjadi polemik sesetengah pihak. Apabila peluang gagal disediakan secara sama, akan timbul beberapa isu dan rasisme antaranya.

Wynne Parry dalam kajiannya pada tahun 2012 mencadangkan bahawa bayi seawal usia 9 bulan sudah pun mempunyai respons kepada sesuatu yang di luar normanya. Atau dalam erti kata yang lebih mudah dan ringan adalah seawal usia tersebut mereka telah memahami apa itu rasisme. Dengan hanya melihat bentuk rupa dan warna kulit, mereka akan memberi respons yang beremosi. Namun ia tidak bermula di alam persekolahan.

Begitulah pendidikan dapat menjadi medan rekrut kepada mereka yang mendambakan perpaduan yang tulen. Rasisme yang terbentuk dari rumah dengan sikap ibu bapa dan persekitaran yang turun temurun bernafas dalam perpaduan palsu harus disucikan apabila mereka menjejak kaki ke alam awal persekolahan. Tetapi apakah benar dalam konteks negara kita ini boleh berlaku dengan ditambah sistem persekolahan yang citra bangsanya?

Itulah akar perbincangan untuk cabaran perpaduan di zaman yang penuh mehnah dan tribulasi kini. Tempat yang sepatutnya melahirkan modal insan atas matlamat dan cita-cita yang sama hari ini sekadar menjadi makmal ujian perosak bangsa. Anak-anak dan generasi masa hadapan kita menjadi mangsa kerakusan pimpinan negara.

Di saat ibu bapa diracuni dengan sistem atau polisi yang sedang membunuh karektor pimpinan masa depan negara dan dunia, anak-anak bangsa Malaysia ini perlahan-lahan dibesarkan dengan tekanan yang bukan mereka tanam, tetapi tekanan itu adalah hasil warisan kita yang selesa hidup dicucuk hidung.

Ingat, majunya tanah air kita bukan kerana Melayu kaya, bukan kerana Cina kaya, bukan kerana India dan kaum lain kaya, tapi majunya kita bila semua kita mampu hidup bersama di bawah spritual rukun negara dan bangga ke serata pelusuk dunia dengan disapa ANAK BANGSA MALAYSIA.

CATEGORIES