Persempadanan P/raya:Hakim tarik diri dengar semakan kehakiman Nurul Izzah

Persempadanan P/raya:Hakim tarik diri dengar semakan kehakiman Nurul Izzah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Hakim Mahkamah Tinggi hari ini menarik diri daripada mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Anggota Parlimen Lembah Pantai dan 10 yang lain bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Allif Benjamin Suhaimi yang mewakili kesemua pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili ketiga-tiga responden.

Allif Benjamin memberitahu pemberita bahawa hakim membuat keputusan tersebut atas alasan keluarganya merupakan kenalan rapat dengan responden kedua.

Nurul Izzah, 36, dan 10 yang lain memfailkan permohonan itu pada 11 November lalu menerusi Tetuan Thomas Philip dengan menamakan SPR, Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam permohonan itu, mereka menuntut satu perintah certiorari membatalkan keputusan responden pertama dalam notis bertarikh 15 Sept 2016 bertajuk ‘Notis syor-syor yang dicadangkan bagi bahagian-bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri dalam negeri-negeri Tanah Melayu sebagaimana yang telah dikaji semula oleh SPR pada tahun 2016.

Mereka juga memohon satu deklarasi bahawa siasatan tempatan kali pertama untuk bahagian Pilihan Raya Persekutuan P.121 Lembah Pantai yang dikendalikan oleh responden pertama pada 8 Nov lepas di Hotel Marriot Putrajaya, adalah menyalahi undang-undang.

Selain itu, mereka juga memohon satu perintah bahawa notis dan/atau proses/prosiding/tatacara persempadanan semula mengikut notis dan syor-syor yang dicadangkan tersebut digantung sehingga pelupusan penuh semakan kehakiman ini.

Mereka mengemukakan tuntutan berkenaan dengan alasan bahawa prasyarat untuk menjalankan kuasa tidak dipatuhi, notis itu salah di sisi undang-undang, syor-syor yang dicadangkan salah di sisi undang-undang, tidak rasional dan tidak seimbang, prosedur yang salah serta siasatan itu menyalahi undang-undang.

Antara relif-relif yang dipohon ialah kesemua pemohon dan pembantah yang lain akan mengalami kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki jika kebenaran tidak diberikan dan kepentingan awam menetapkan bahawa penangguhan perlu diberikan.

TAGS