Persempadanan pilihan raya berniat jahat, selar Pemuda Amanah

Persempadanan pilihan raya berniat jahat, selar Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Amanah Nasional menyifatkan syor persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tertumpu kepada kerusi-kerusi disandang parti pembangkang adalah tindakan berniat jahat (mala fide).

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, hal ini kerana prinsip yang digariskan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan hanya mengkehendaki faktor kewujudan kesulitan kepada pemilih dan pentadbiran dalam sesuatu bahagian pilihanraya diambil kira bagi tujuan tersebut.

“Syor persempadanan semula oleh SPR bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam konteks pembangunan dan kemudahan pengangkutan yang wujud pada hari ini, tiada sebarang kesulitan timbul dalam pilihan raya lalu yang mewajarkan untuk persempadanan semula,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan kerusi campuran dikecilkan sehingga wujudnya peningkatan jumlah kerusi sama ada majoriti kaum Melayu atau bukan Melayu jika dilihat pada syor persempadanan semula yang diumumkan, 15 September lalu.

“Syor ini bercanggah dengan inti pati utama Perlembagaan Persekutuan yang merupakan kontrak sosial antara kaum dalam negara ini.

“Sebarang proses persempadanan bahagian pilihan raya tidak harus membentuk lokaliti perkauman bagi setiap bahagian pilihanraya,” jelasnya.

Mengulas lanjut pola persempadanan semula itu, beliau berkata, seorang wakil rakyat mewakili rakyat malaysia pelbagai kaum di dalam sesebuah bahagian pilihan raya bukannya kaum tertentu.

“Jika tidak, jurang antara kaum di negara ini semakin jauh dan permuafakatan antara kaum yang dibina selama ini akan terjejas.

“Dibimbangi pergeseran antara kaum boleh meningkat jika sentimen perkauman dimainkan berdasarkan lokaliti perkauman bahagian pilihan raya selepas ini akibat ketidakseimbangan pembangunan dan suara di legislatif.

“Maka, dalam keadaan ini, wujudnya ‘mala fide’ oleh pihak SPR dalam syor persempadanan semula ini,” tegas Faiz lagi yang juga merupakan peguam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan inti pati utama demokrasi bahawa pilihanraya hendaklah dijalankan secara adil dan bebas tidak mampu dilaksanakan di negara ini selagi SPR disalahgunakan oleh pemerintahan kleptokrasi Umno pimpinan Najib Razak bagi terus mengekalkan kuasanya.

TAGS