Persempadanan semula p’raya: Kanun sedia pandu proses bantahan

Persempadanan semula p’raya: Kanun sedia pandu proses bantahan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Biro Undang-undang Parti Amanah Negara (Kanun) akan memberikan khidmat nasihat percuma kepada pihak-pihak yang memerlukan panduan dalam proses membuat bantahan ke atas cadangan persempadanan semula kawsan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan pengerusi Kanun Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan semua pihak dalam kawasan pilihan raya yang terkesan dengan cadangan SPR tersebut untuk berhubung dengan para peguam Kanun di setiap negeri selepas sesi taklimat dijalankan bagi mendapatkan khidmat nasihat dan penyelarasan tindakan.

Sebelum itu katanya, Kanun akan memberikan taklimat khas kepada pasukan peguam Amanah di seluruh negara dalam tempoh terdekat ini sebagai persiapan dan persediaan untuk membuat bantahan terhadap cadangan persempadanan semula ini selaras dengan peruntukan item 5 Bahagian 2 Jadual Ke 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Persoalan hakikinya adalah adakah cadangan persempadanan semula ini dibuat bertepatan dengan prinsip dan syarat yang diperuntukkan di bawah peruntukan item 2(a), (b), (c) dan (d) bahagian 1, Jadual ker 13 Perlembagaan Persekutuan? Soalnya dalam satu kenyataan.

Justeru Kanun menyeru pihak SPR agar melaksanakan fungsi dan tanggungjawab mereka seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dengan adil, berkecuali, berhikmah dan bijaksana sebagai memenuhi tugas dan menjunjung titah perintah Yang Di Pertuan Agong.

“Yang Di Pertuan Agong melantik ahli-ahli SPR dengan kriteria mustahak iaitu mereka boleh mendapat kepercayaan awam sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 114(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Cadangan persempadanan semula dibuat berdasarkan peruntukan Perkara 113, 116 dan 117 Perlembagaan Persekutuan dan terpakai kepada bahagian pilihan raya peringkat persekutuan dan negeri.

Sebaik sahaja disiarkan kepada awam, cadangan tersebut telah mendapat kritikan negatif dan menimbulkan syak wasangka dan kesangsian meluas dalam kalangan pelbagai pihak terutama sekali parti-parti politik yang terlibat secara langsung dalam proses pilihan raya di Malaysia.

Pandangan umum adalah cadangan persempadanan semula tersebut dilihat secara keseluruhannya menguntungkan dan menyebelahi serta membantu Umno-Barisan Nasional untuk memenangi pilihan raya umum ke-14.

TAGS