Pesan Maria Chin: teruskan menuntut reformasi institusi

Pesan Maria Chin: teruskan menuntut reformasi institusi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bersih akan terus berjuang menuntut pilihan raya yang bersih dan adil walaupun dikenakan tindakan keras yang berterusan dengan menyaksikan empat daripada pimpinan utama pergerakan itu ditangkap.

“Kami ingin nyatakan bahawa perjuangan untuk pembaharuan pilihan raya dan institusi yang bebas dan adil akan diteruskan.

“Oleh itu, walaupun kita di sini dengan empat kerusi kosong, dalam solidariti bersama-sama Maria Chin, Mandeep Singh, Safwan Anang dan Hishammudin Rais,” kata Timbalan Pengerusinya, Shahrol Aman Mohd Saari pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

“Kami berharap mereka berada dalam keadaan baik dan terus kuat meneruskan perjuangan. Walaupun mereka tidak berada di sini, semangat mereka di sini dengan kami,” kata Shahrol Aman yang dilantik sebagai pemangku pengerusi Bersih semasa ketiadaan Maria.

Maria telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana didakwa terbabit dalam aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

Menurut satu kenyataan di facebook rasmi Bersih 2.0, Maria ditahan secara berseorangan (solitari confinement) di dalam sebuah sel 15×8 tanpa tingkap, dengan dua bub lampu yang dibuka 24 jam.

Tiada katil atau bantal, hanya lantai simen dan sekeping kayu dan disifatkan tahanannya serupa dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Kami tunjukkan gambar Bersih 5 semalam, dan beliau sangat gembira. Maria mengucapkan tahniah kepada semua kerana bangun menentang penindasan dengan begitu berani.

“Semangat Maria masih tinggi, dan menyeru kepada semua untuk terus menuntut reformasi institusi,” kata kenyataan itu.

 

TAGS