PH Johor tubuh ‘task force’ hadapi penipuan dalam pilihan raya

PH Johor tubuh ‘task force’ hadapi penipuan dalam pilihan raya

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Isu jumlah pengundi pos yang ditambah di Kem Segamat memberi gambaran bahawa Barisan Nasional (BN) Johor dalam keadaan tertekan dan merasakan akan kalah dalam pilihan raya umum nanti, kata pimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor.

Sehubungan itu, Pengerusi PH Negeri Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, BN kini berusaha melaksanakan strateginya untuk memenangkan kawasan-kawasan yang disasarkan agar negeri Johor tidak terlepas ke tangan PH.

“Mengikut dapatan kita, kita telah mengesan terdapat 1051 pengundi tentera di satu kawasan di Segamat iaitu di Kem Jementah Segamat sedangkan kem tersebut masih tidak dibina lagi. Kita cukup kesal dengan apa yang berlaku ini.

Muhyiddin Yassin berucap dalam program ceramah Luaskan Harapan.

“Kita bimbang keadaan begini akan berlaku di tempat-tempat lain di sekitar negeri Johor. Disebabkan itu PH Johor akan meminta PH Nasional membentuk satu pasukan bertindak (task force) bagi mengelakkan penipuan dalam pilihan raya.

“Parti-parti yang bertanding dalam PRU kini sudah tidak lagi boleh mendapatkan data terbaru pengundi sedangkan perkara ini bertentangan dengan peraturan sebelum, kita perlu tahu siapa pengundi kita,” kata Muhyiddin dalam satu sidang media selepas program ceramah Luaskan Harapan di sini baru-baru ini.

Berhubung perkara yang sama, Pengarah Pilihan Raya PH Johor, Salahuddin Ayub berkata, tindakan BN Johor itu adalah gambaran bahawa BN Johor sudah kalah dalam pengiraan mereka.

Menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu lagi, bayangan kekalahan itu jelas apabila BN Johor mahu pun peringkat Malaysia sudah mengambil langkah yang terdesak seperti itu.

“Ini tindakan jahat yang cuba dilakukan oleh BN terhadap pengundi yang berdaftar secara sah. Undi pos selama ini telah membuktikan ia berat sebelah kerana selama ini kami tidak boleh berkempen secara neutral di dalam kem.

“Gambaran ini jelas membuktikan BN atau Umno sudah tidak mampu lagi mengekang gelombang rakyat yang sedang menolak pemerintahan mereka.

Salahuddin Ayub

“Bagaimana pengundi boleh wujud sedangkan kem masih belum siap dibina, jelas ini tindakan terdesak Umno/BN untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang di negeri Johor ini,” kata Salahuddin Ayub ketika ditanya dalam sidang media yang sama.

Bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi, PH Johor telah bermesyuarat dan telah menggariskan beberapa struktur gerakan bagi mewujudkan gelombang kebangkitan rakyat serta memberi penerangan kepada rakyat di negeri Johor.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES