PH optimis tawan Parlimen Temerloh

PH optimis tawan Parlimen Temerloh

AMANAH Pahang yakin Pakatan Harapan (PH) mampu memenangi kerusi P. 088 Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Kerusi Parlimen Temerloh merupakan satu-satunya kerusi yang diperuntukkan kepada AMANAH, daripada 14 kerusi Parlimen di negeri Pahang untuk ditandingi pada PRU14 akan datang.

Timbalan Ketua AMANAH Temerloh, Syed Hamid Syed Mohamed berkata, keyakinan tersebut adalah berdasarkan persembahan dan prestasi parti-parti dalam PH di tiga kawasan Dun di bawah Parlimen Termerloh iaitu Semantan, Mentakab dan Lancang.

Syed Hamid Syed Mohamed

Beliau yang juga Adun Kuala Semantan itu berkata, dua Dun di bawah Parlimen Temerloh iaitu Semantan dan Mentakab dimenangi oleh parti dalam PH pada PRU13 lalu.

“Dun Semantan dikuasai oleh AMANAH dan Dun Mentakab oleh DAP.

“Sementara itu di Dun Lancang, PH yang dulunya Pakatan Rakyat, cuma kalah tipis,” kata beliau sewaktu ditemui Malaysia Dateline.

Ketiga-tiga Dun berkenaan kata beliau, terdiri daripada pengundi campuran dan di Dun beliau iaitu Semantan, jumlah pengundi Cina adalah 14 peratus, Melayu 85 peratus dan selebihnya pengundi lain-lain bangsa.

Begitu juga keadaannya dengan pengundi di Dun Mentakab, tetapi di Dun Lancang, walaupun peratus pengundi Melayu tinggi di Dun berkenaan terdapat ramai pengundi India, kata beliau.

“Pada pilihan raya lalu Pakatan Rakyat kalah tipis di sana kerana strategi yang diambil dilihat membelakangkan pengundi India sedangkan undi mereka juga signifikan,” kata beliau.

“Hal ini akan diatasi pada PRU14 akan datang di mana kita akan memberikan tumpuan kepada kelompok ini,” sambungnya.

Ditanya mengenai gerak kerja yang akan diambil bagi menghadapi PRU14 nanti, Syed Hamid berkata, AMANAH Pahang akan bekerjasama erat dengan lain-lain parti dalam PH untuk menjayakan misi menawan Parlimen Temerloh ini.

Gerak kerja AMANAH akan ditumpukan di Dun Semantan, manakala DAP di Dun Mentakab dan PKR di Dun Lancang.

Memandangkan AMANAH hanya bertanding di Parlimen Temerloh, AMANAH akan menggerakkan jentera AMANAH dari seluruh negeri ini untuk membantu, kata beliau.

Pengundi Felda

Kata beliau lagi, di bawah Parlimen Temerloh terdapat dua kawasan penempatan Felda iaitu Felda Bukit Damar dan Felda Lakum, kedua-duanya dalam Dun Lancang.

Sehubungan itu katanya, AMANAH dan PH akan berusaha mendekati mereka dengan membawa tokoh-tokoh berkaitan Felda bagi menjelaskan permasalahan yang mereka hadapi.

“Kebetulan sekarang ini isu-isu Felda begitu hangat diperkatakan dan pelbagai penyelewengan didedahkan.

“Kita akan jelaskan kepada mereka apakah kesan-kesan yang akan menimpa warga Felda hasil penyelewengan yang didedahkan itu,” sambungnya.

Isu calon

Mengenai calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Temerloh beliau berkata, AMANAH Pahang berharap pucuk pimpinan dapat meletakkan seseorang yang punya aura dan benar-benar dapat berkhidmat kepada penduduk kawasan parlimen yang menjadi tumpuan itu.

“Pengundi di sini tidak suka wakil rakyat yang hanya jenguk muka sesekali sahaja dan sukar didekati. Pada masa lalu, beberapa orang wakil rakyat ditolak oleh pengundi kerana faktor ini walaupun calon itu orang tempatan tetapi mereka duduk di luar dan datang jenguk sesekali.

“Dalam hal ini terpulanglah kepada pucuk pimpinan untuk meletakkan calon yang dirasakan sesuai dan punya kaliber,” kata beliau.

Untuk masa terdekat AMANAH dan PH Pahang akan mengatur beberapa program sebagai sebahagian gerak kerja kempen menjelang PRU14 nanti.

AMANAH dan PH akan mengadakan majlis makan malam untuk mencari dana membiayai pilihan raya, dan juga akan menjemput Datuk Husam Musa berceramah di bandar Temerloh, kata beliau.

4.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 8.0
CATEGORIES