PH Perak gesa kerajaan beri subsidi atasi kenaikan tambang bas sekolah

PH Perak gesa kerajaan beri subsidi atasi kenaikan tambang bas sekolah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pakatan Harapan Perak mencadangkan agar kerajaan menanggung kos peningkatan tambang bas sekolah yang dijangka akan dinaikkan antara RM10 hingga RM20 bagi seorang penumpang.

V Sivakumar

Ketua Sekretariatnya V Sivakumar berkata, jika peningkatan tambang bulanan bas sekolah meningkat ia akan membebankan rakyatberpendapatan sederhana dan rendah di negara ini yang amat bergantung kepada perkhidmatan bas sekolah.

” Apakah tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah kenaikan tambang bas sekolah?

“Kerajaan harus campurtangan dan menyelesaikan masalah ini dengan segera. Keprihatinan kerajaan dalam isu ini dinanti-nanti oleh golongan yang memerlukan.

“Saya mencadangkan supaya kerajaan menanggung kos peningkatan tambang bas sekolah ini dengan memberi subsidi. Setiap murid yang menggunakan khidmat bas sekolah perlu diberi subsidi sekurang-kurangnya RM20 seorang.

“Pemberian subsidi secara bersasar ini akan membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah berkata,kos sara hidup rakyat semakin meningkatdengan kenaikan harga barangan sedangkan pendapatan rakyat tidak berubah.

“Pendapatan boleh guna sebenarnya jatuh kerana penurunan nilai Ringgit. Ramai juga telah hilang pekerjaan kerana penutupan kilang dan perniagaan.

“Dalam keadaan yang tertekan ini satu lagi berita buruk untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana apabila tambang bas sekolah pula akan dinaikkan pada bulan Januari 2018.

“Pada masa ini tambang bas sekolah di kawasan bandar adalah di antara RM80 hingga RM120 bagi seorang murid. Di kawasan luar bandar pula tambang bas sekolah adalah dalam lingkungan RM60 hingga RM80 bagi seorang murid.

“Tambang bas sekolah ini adalah besar bagi golongan miskin. Jika 3 orang anak menaiki bas sekolah, belanja yang perlu ditanggung oleh ibubapa adalah lebih kurang RM240 hingga RM 300 sebulan.

“Dikatakan bahawa tambang bulanan bas sekolah ini akan dinaikkan RM10 hingga RM20 seorang murid mulai bulan Januari 2018. Ini disebabkan oleh kenaikan harga petrol dan diesel. Selain daripada itu barang-barang gantian (spare parts) bas juga telah menjadi semakin mahal akibat penurunan nilai Ringgit. Ditambah lagi pelbagai caj dan bayaran yang dikenakan oleh kerajaan meningkatkan kos operasi,” terangnya.

Pada Selasa Presiden Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Mohd Rofik Mohd Yusof seperti dilapor Bernama dipetik berkata, pihaknya menjangkakan kenaikan tambang bas sekolah bagi tahun 2018 adalah RM10 bagi kawasan luar bandar, manakala RM20 bagi kawasan bandar.

Kenaikan tersebut dilakukan berikutan pelbagai kos yang perlu ditanggung oleh pengusaha termasuk alat ganti yang naik 50 hingga 80 peratus setiap tahun selain kos penyelenggaraan.

Baca: Kadar tambang bas sekolah dijangka naik tahun depan

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS