Piala AFF: Mungkinkah kabinet putuskan tarik diri?

Piala AFF: Mungkinkah kabinet putuskan tarik diri?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Walaupun wujud gesaan supaya Malaysia menarik diri daripada Kejohanan Piala AFF yang berlangsung di Myanmar pada masa ini, kerajaan setakat ini masih belum memberikan sebarang keputusan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam reaksinya berkata, Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan seperti itu memandangkan hanya kabinet yang boleh membuat keputusan.

Menurutnya, beliau akan sekali lagi membangkitkan isu berkenaan sama ada skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee boleh menarik diri atau sebaliknya di Kabinet pada masa terdekat selepas berbuat demikian sebelum ini.

“Segala keputusan bergantung kepada kabinet, ” ujarnya dipetik menerusi laman Twitternya, hari ini.

Terdahulu, Naib Yang Dipertua Pas Kulim-Bandar Baharu, Mohd Khairi Salleh dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa pasukan negara supaya menarik diri sebagai setiakawan membantah kekejaman rejim junta tentera ke atas umat Islam di Myanmar.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaysia akan turun menentang pasukan Vietnam hari ini, sebelum menentang Myanmar, Sabtu ini.

Sementara itu, imej satelit definisi tinggi Human Rights Watch (HRW) kelmarin mendedahkan lebih 1,000 rumah di perkampungan didiami etnik Rohingya di barat laut Myanmar dibakar pihak tentera kerajaan.

Seramai 100,000 etnik Muslim di wilayah terbabit hidup di kem perlindungan manakala lebih 100 dibunuh sejak pos kawalan polis di sempadan Bangladesh diserang.

‘Anda bila lagi?’

Dalam perkembangan berkaitan, Najib Razak dalam status Facebook rasminya memberitahu sudah mengundi pemain bola sepak Pulau Pinang, Faiz Subri di pautan http://www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/.

Undian melalui laman rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu bagi membolehkan Faiz yang buat pertama kali dalam sejarah bola sepak negara tersenarai dalam 10 calon terakhir penjaring gol tercantik dunia untuk merebut Anugerah Puskas FIFA 2016.

“Saya dah pilih, anda bila lagi?” soal Najib diikuti #FIFAPuskas, #FaizSubri dan #MalaysiaBoleh tetapi ruangan komentar status itu dilihat disambut deretan #RespectMyPM yang berulang-ulang dipercayai daripada akaun pemilik Facebook palsu.

TAGS