‘Pihak halang RUU 355 seperti membabi buta’

‘Pihak halang RUU 355 seperti membabi buta’

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, tindakan pihak yang menentang pindaan Akta 355 atau dipopularkan dengan sebutan RUU 355 adalah tindakan yang membabi buta.

Abdul Hadi Awang

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, menentang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) bermaksud menghalang jalan Allah, keadilan dan rahmatNya kepada seluruh alam dan mahu meroboh tangga yang menaikkan Islam.

“RUU 355 adalah tangga menaikkan hukum syariat yang dihalang dan dihina oleh penjajah dahulu dan pintu memperkenalkan sistem kehakiman Islam dan hukuman Islam yang mendidik penjenayah dan masyarakat.

“Apabila ditentang bermakna menghalang jalan Allah, keadilan dan rahmat-Nya kepada seluruh alam, bermaksud mahu meroboh tangga yang menaikkan Islam.

“Tindakan menghalangnya adalah satu kezaliman dan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam dan setiap manusia yang ingin mencari kebenaran dan kebaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tindakan ini juga kata Hadi, mengancam perpaduan masyarakat majmuk dengan maksud melemahkan umat Islam yang menjadi terasnya, tanpa menghargai sikap Islam yang terbuka dan fleksibel terhadap semua.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, tindakan pihak yang menentang pindaan Akta 355 atau dipopularkan dengan sebutan RUU 355 adalah tindakan yang membabi buta.

“Jelas bahawa kalangan yang menentangnya adalah secara yang disebut dalam pepatah Melayu laksana membabi buta. Sudahlah babinya najis, tiba-tiba buta pula,” katanya.
Justeru, Hadi berkata, umat Islam yang bangkit bersatu tidak boleh memaafkan pihak yang menentang RUU 355 dan orang bukan Islam pula wajib menolak parti politik yang bersifat cauvinis dan oportunis.

“Adapun kalangan bukan Islam yang bersaudara dalam masyarakat majmuk bermadani wajib menolak parti politik dan semua kumpulan yang sifatnya sudah tidak adil dalam politiknya, bersifat cauvinis dan opportunis tanpa perhitungan secara saksama,” katanya lagi.

RUU 355 cetus gelombang besar

Hadi juga berkata, beliau tidak menduga RUU 355 mencetuskan gelombang besar terhadap perkara yang tersirat di dalam lubuk hati semua kumpulan terhadap Islam.

Kata beliau, walaupun ia bukan hukum hudud yang selalu dijadikan senjata paling tajam mengikut tanggapan semua kumpulan anti-Islam, namun tetap dikaitkan juga.

“Tujuannya untuk menikam Islam daripada segenap penjuru dengan hukum Allah tersebut, walaupun mereka jahil berkenaannya. Matlamatnya semata-mata mencacatkan wajah Islam yang murni dan mulia,” katanya.

Menurut beliau, Pas, Umno dan pihak yang menyokong RUU 355 menerima dengan hati terbuka kebijaksanaan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahsan untuk memberi peluang lebih panjang kepada semua pihak.

“Namun kepada penentangnya laksana batu besar yang dicampak ke dalam lubuk tenang yang tidak disangka adanya buaya, bukan sahaja ikannya terkejut gelombangnya.

“Tiba-tiba semua menimbulkan diri, termasuk ular dan buaya paling besar menerkam dengan rakus menempik segala hujah, termasuk mencetuskan perkara yang tersasul tidak ada kena mengena dengan tajuk RUU 355, apabila menimbulkan reraturan mesyuarat yang tidak menyentuhnya sedikit pun, niatnya untuk memamah masa supaya tidak ada ruang langsung bagi RUU 355,” katanya.

 

TAGS