Pilihan raya kampus UM 2016: Politik baru mahasiswa

Pilihan raya kampus UM 2016: Politik baru mahasiswa

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Hari ini, 19 September 2016 merupakan hari penamaan calon bagi Pilihanraya Kampus Universiti Malaya (PRKUM) bagi pemilihan kepimpinan mahasiswa sesi 2016/2017. Uniknya PRKUM pada kali ini adalah dari segi politik baru yang dibentuk oleh mahasiswa, iaitu konsep multi-parti berbanding tahun-tahun sebelumnya yang menyaksikan persaingan dwi parti sahaja.
Sebagai salah seorang mahasiswa yang melibatkan diri secara aktif dalam Pilihanraya Kampus UM pada kali ini, saya melihat bahawa kepelbagaian yang dicorak melalui 5 parti mahasiswa ini adalah satu bentuk persaingan yang sihat dan mewajahkan lanskap politik kampus yang lebih dinamik.

Dalam persaingan 5 parti mahasiswa yang mewarnai PRKUM pada kali ini, Angkatan Mahasiswa merupakan satu-satunya parti yang muncul mengangkat nilai-nilai teras universiti. Agenda utama yang dibawa antaranya adalah penyatuan mahasiswa melalui pengamalan 10 nilai teras universiti iaitu :

1. Integriti
2. Hormat
3. Kebebasan akademik
4. Berfikiran terbuka
5. Kebertanggungjawaban
6. Profesionalisme
7. Meritokrasi
8. Semangat Kerja Berpasukan
9. Kreativiti
10. Tanggungjawab Sosial

Mahasiswa harus sedar bahawa mereka adalah ‘stakeholder’ atau warga terbesar dan terpenting bagi sesebuah universiti. Tanpa mahasiswa, tiadalah universiti. Oleh itu, mahasiswa punyai hak untuk mengangkat suara mereka serta memastikan tiada pihak yang boleh menindas hak mahasiswa sewenangnya.
Seterusnya, Angkatan Mahasiswa punyai visi untuk menyemai kesedaran dan tanggungjawab sosial melalui pendidikan politik kepada mahasiswa agar mahasiswa berpandangan jauh dalam memainkan peranan mereka sebagai penuntut ilmu yang bukan sahaja memajukan diri sendiri, bahkan mampu berbakti kepada masyarakat.

Wawasan yang ingin saya dan rakan-rakan Angkatan Mahasiswa bawakan ini mengingatkan saya kepada pesanan Prof Ungku Aziz iaitu bekas Naib Canselor Universiti Malaya yang pernah menitipkan sebuah kata-kata inspirasi kepada anak-anak mahasiswanya;
“Belajar sambil mencabar. Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang. Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin. Berpengalaman (mencabar) dan terpelajar”.

Sesungguhnya pembangunan semula fungsi universiti memerlukan kesedaran seluruh warga terutama mahasiswa dan ahli akademik. Saya percaya, Pilihanraya Kampus ini merupakan salah satu titik tolak ke arah menghidupkan fungsi sebenar universiti, iaitu membekalkan pemimpin berkualiti demi masa depan negara yang lebih baik.

*Penulis Nur Hananie Muhamad Amir Chow adalah Pengerusi  Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya

CATEGORIES
TAGS