Pimpinan DAP Batu Kawan sokong cegah aktiviti minum arak di khalayak

Pimpinan DAP Batu Kawan sokong cegah aktiviti minum arak di khalayak

Jarang kita mendengar aktiviti berkaitan arak ditentang individu mahupun organisasi bukan Islam, namun berbeza dengan dua ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), David Marshel dan M Satees.

Mereka telah menunjukkan sikap prihatin dan memandang serius kegiatan meminum arak dan lepak yang boleh mendatangkan gangguan serta tidak selesa pada masyarakat sekeliling.

Bagi menyekat aktiviti meminum arak di khalayak ramai, khususnya di kawasan taman rekreasi serta perumahan awam, papan tanda amaran telah diletakkan di kawasan awam sekitar Butterworth dan Perai.

David Marshel  (gambar kanan) berkata, kesedaran perlu diberikan kepada masyarakat tentang aktiviti lepak dan meminum arak yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada individi dan masyarakat sekeliling.

Malah katanya, keprihatinan ini timbul setelah ada aduan berkenaan kehadiran pihak tertentu yang sering berkeliaran dan melepak di kawasan taman permainan pada waktu malam sambil minum arak serta mengganggu ketenteraman orang lain.

“Aktiviti tidak bemoral ini menimbulkan rasa tidak selesa kepada masyarakat sekeliling.

“Selain itu ia juga mengotorkan kawasan sekitar apabila bekas minuman keras atau arak yang dibuang merata-rata.

“Mereka juga menimbulkan ketidakselesaan apabila bertindak membuat bising dan lebih agresif apabila ditegur, ” ujarnya yang juga merupakan Setiausaha Organisasi DAP Parlimen Batu Kawan.

Beliau juga berkata isu ini bukan suatu perkara yang baru, sebaliknya MPSP sebagai sebuah agensi kerajaan negeri telah pun mengambil pelbagai langkah bagi mengatasi masalah ini.

“Sebelum ini pihak polis turut mengambil tindakan membuat rondaan serta menegur kumpulan maupun peminum arak.

“Saya bersama-sama dengan seorang lagi ahli majlis MPSP, M satees yang juga merupakan Ketua Pemuda DAP Parlimen Batu Kawan mengambil inisiatif mengeluarkan peruntukan bagi memasang lima buah papan tanda peringatan.

“Papan tanda amaran dan larangan meminum arak di kawasan awam turut dipasang sekitar Butterworth dan Perai,” jelasnya lagi.

Tegasnya lagi, seandainya isu ini tidak ditangani dengan lebih serius lagi, ia akan menimbulkan masalah sosial yang lebih parah.

“Aktiviti ini sekiranya dibiarkan akan meruntuhkan akhlak di kalangan generasi muda.

“Setakat ini papan tanda yang dipasang adalah sekitar kawasan perumahan di Taman Bagan, Taman Jawa dan Taman Ria di Butterworth.

“Manakala bagi kawasan Perai pula ia turut dipasang di Taman Supreme dan Taman Prai Utama, ” katanya lagi.

Menurut David lagi, beliau akan meminta MPSP supaya memasang lebih banyak lagi papan tada sedemikian bagi kawasan lain bagi menyedarkan masyarakat tentang kesan yang akan diterima dari aktiviti lepak dan meminum arak.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS