Pinda Akta 164: Perkasa gesa wakil rakyat tidak sokong

Pinda Akta 164: Perkasa gesa wakil rakyat tidak sokong

 Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merayu kepada ahli  Parlimen untuk tidak menyokong pindaan Akta 164 kerana ia amat bertentangan dengan hukum syarak, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden Hassan Basri Muhammad berkata,usaha kerajaan untuk meminda Akta 164 satu ancaman terhadap agama islam dan bertentangan dengan perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan akta itu menyebut apabila salah seorang pasangan memeluk islam, penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibubapa,

“Ini jelas bertentangan pula dengan hukum syarak dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-87 yang di muzakarah pada Jun 2009, sebelum ini diterima pakai tanpa masalah oleh kerajaan.

” Antaranya memutuskan ‘apabila salah seorang pasangan sama ada ibu atau bapa memeluk agama islam, maka status anak-anak bawah umur secara langsung adalah ISLAM,” ujarnya dalam kenyataan.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan kerajaan untuk meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 atau Akta 164 adalah berdasarkan kepentingan negara.

Beliau mengulas mengenai saranan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria supaya kerajaan menarik balik keputusan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau menghormati pandangan tersebut dan fatwa yang sebelum ini dibuat mengenai perkara itu.

“Perkasa sangat menyokong pandangan dan nasihat Mufti Perak Sahibul Samahah Tan Sri Dr. Harussani Zakaria agar pembentangan ini ditangguhkan.

“Sekiranya pembentangan akta ini diteruskan, Perkasa melihat ianya memberi satu isyarat songsang betapa pihak kerajaan bersedia untuk mencabuli Perlembagaan Persekutuan dan seolah-olah memperlekehkan kesucian Islam dan sekaligus tidak menghormati keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

“Dan yang lebih malangnya kerajaan kini yang meletakkan Islam Agama Persekutuan dilihat semakin tunduk kepada tekanan lalu mencari alasan kononnya pindaan ini berpaksikan keadilan sejagat untuk menyelesaikan pertikaian antara pasangan suami isteri yang memeluk islam dan diselesaikan oleh Mahkamah sivil,” ujarnya.

Justeru Perkasa turut mengingatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum ini dakwanya, memberi amaran kononnya ‘pihak luar jangan ca

Alasan Pandikar, pindaan akta ini telah dibincangkan secara mendalam oleh pakar perundangan termasuk pakar agama.

“Persoalannya apakah pindaan ini didalami oleh yang kononnya ‘pakar-pakar’ atas nama keadilan sejagat walhal pindaan ini tidak memberi keadilan kepada si pemeluk islam.

“Sebagai contoh Seksyen 51 akta berkenaan memperuntukan hanya pihak yang tidak memelum Islam boleh memfailkan petisyen membubar perkahwinan di mahkamah sivil sementara yang memeluk Islam tidak diberi hak.

“Ini jelas menampakkan satu diskriminasi terhadap agama islam.

“Perkasa juga sangat tidak bersetuju apabila memasukkan Seksyen 88A bagi menghalang pihak memeluk islam untuk mengislamkan anaknya kerana cadangan ini jelas bercanggah dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan yang memberi hak kepada ibu bapa menentukan agama anaknya di bawah 18 tahun.

“Dari segi bidangkuasa perundangan. Hanya Dewan Undangan Negeri (Dun) yang mempunyai kuasa menentukan siapa yang berhak memeluk Islam atau mengislamkan anak dibawah 18 tahun kerana enakmen pentadbiran islam di bawah kuasa negeri,” ujarnya.

Semalam, Harussani dilaporkan sebagai berkata pindaan Akta 164 bertentangan dengan Perlembagaan dan hukum syarak serta dianggap memperlekeh dan menghina Islam.

Mufti Perak itu berkata bacaan kali kedua pindaan akta berkenaan yang dijangka dibentangkan minggu ini juga bertentangan dengan fatwa yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-87 pada Jun tahun 2009.

Katanya, jawatankuasa berkenaan memutuskan apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa memeluk Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan itu secara automatik beragama Islam.

TAGS