Pindaan Akta 164 panduan Maqasid Syariah bukan sentimen

Pindaan Akta 164 panduan Maqasid Syariah bukan sentimen

Asas perbahasan mengenai kontraversi pindaan Akta 164 perlu dihadapi dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap perkara yang lebih besar berpandukan kepada prinsip Maqasid Syariah berbanding sentimen dan perasaan, kata Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Beliau berkata, prinsip Maqasid Syariah yang menentukan apa sahaja keputusan yang dibuat dalam memahami akta ini.

“Tuduhan liar kononnya akta ini menggadaikan Islam dan segala teori konspirasi di sebaliknya adalah tidak berasas malah boleh dianggap keluar dari konteks sebenarnya mengapa akta ini dipinda.

“Status agama anak dalam pindaan akta 164 bukan soal menggadaikan aqidah ataupun menidakkan kepentingan Islam tetapi ia mesti diletakkan atas piawaian tujuan utama Syariat Islam didatangkan iaitu menjaga ‘Agama’. Yang dimaksudkan menjaga ‘Agama’ ialah memelihara Keadilan, Kerahmatan dan Karamatul Insan.

“Pihak yang menuduh hanya ahli parlimen partinya sahaja yang membela Islam dengan menolak pindaan 164 ini, sekali lagi ‘mensucikan’ diri mereka dan telah buta hakikat bahawa yang menjadi perbahasan kami di Parlimen ialah memastikan nama baik Islam tidak dicemari dengan sentimen dan emosi pemikiran sempit yang hanya melihat satu sisi,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai Dakwaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor bahawa pindaan Akta 164 menyebabkan satu demi satu hak umat Islam terlucut dan kelulusan pindaan akta tersebut bererti kekalahan besar terhadap kepentingan Islam dan kemenangan moral buat pembenci Islam di negara ini.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menerangkan, ulama muktabar berbeza dalam memahami masalah status agama anak. Mazhab Syafie, Hanafi dan Hambali menetapkan status anak berpandukan keIslaman mana-mana pasangan. Pandangan Malik berbeza dengan menyatakan status agama anak berpandukan nasab (jalur keturunan) maka ia mengikut agama bapa. Imam Al Thawri berpandangan status agama adalah atas pilihan anak terhadap agama ibu atau bapanya setelah akil baligh.

“Walaupun seksyen 88 tentang status agama anak bawah umur ditarik balik pindaannya pada saat-saat akhir, akta ini masih tetap ‘separuh masak’ kerana tidak menggarap persoalan yang telah menimbulkan berbagai konflik perundangan yang telah memangsakan kebajikan kanak-kanak yang terpaksa membesar dengan penuh tekanan emosi.

“Penulisan seorang AJK Pas Pusat yang bukan ahli parlimen pun menuduh bukan-bukan telah memainkan sentimen agama yang cukup berbahaya dan gagal melihat tugas dan fungsi ahli legaslatif memelihara artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan lagi bahawa asas pindaan ini adalah khusus menyebut tentang jika salah seorang pasangan yang bukan Islam memeluk Islam. Implikasi kepada permasalahan ini ialah bagaimana status ikatan perkahwinan ini? Bagaimana status agama anak dan kebajikannya serta bagaimana tuntutan-tuntutan harta dan pembiayaan anak-anak.

Pemelukan Islam salah seorang pasangan yang berkahwin sebelumnya terikat bawah akta 164. Disinilah isu yang menjadi perbahasan dari sudut ‘remedi’ atau ‘jalan keluar’ yang mencadangkan, asasnya ialah ikatan perkahwinan pasangan tersebut hendaklah dibubarkan di Mahkamah Sivil di mana sebelumnya tiada klausa yang mengkhususkan peruntukan ini iaitu di bawah seksyen 51.

Lompong atau Lakuna sebelum ini menyebabkan berbagai masalah kerana salah satu pasangan yang memeluk Islam hanya tercerai secara perundangan di Mahkamah Syariah sahaja (yang Muslim) manakala di peringkat sivil perkahwinan mereka masih lagi dianggap kekal kerana tiada pembubaran berlaku.

Implikasinya ialah kebajikan anak bawah umur di mana ada kes yang membabitkan anak di bawa lari dan anak yang diIslamkan tanpa kerelaan salah seorang pasangan ibu atau bapanya. Berlakulah konflik yang tak berkesudahan dan mahkamah tiada remedi kerana tiada peruntukan dalam akta tersedia ada maka seksyen 51 cuba mengatasi sebahagian kelompongan perundangan ini.

Persidangan Dewan Rakyat semalam, meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 yang bertujuan meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau (Akta 164).

Keputusan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selepas RUU itu dibacakan kali ketiga oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri.

Dalam penggulungan perbahasan itu, Azalina berkata pindaan itu bertujuan memberi ruang kepada pasangan yang berkahwin dan telah memeluk agama Islam atau salah seorang dari pasangan itu yang masih berada dalam agama Islam untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil.

Katanya, ia bagi mengelak tindakan oleh sama ada suami atau isteri yang tidak mahu menamatkan sesuatu perkahwinan tetapi tidak menjalankan tanggungjawab terhadap pasangannya, anak-anak atau harta mereka.

TAGS