“Pinjam kerusi” Pas guna bahasa kiasan supaya DAP faham, kata Nik Abduh

“Pinjam kerusi” Pas guna bahasa kiasan supaya DAP faham, kata Nik Abduh

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, beliau menggunakan bahasa kiasan berkaitan kenyataannya semalam, mahu mengambil semula kerusi yang kononnya diberikan kepada DAP.

Beliau tidak menyangka kata-katanya itu menyebabkan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew melenting.

Katanya, beliau hanya membuat sindiran dan meminta belajar mengenai bahasa kiasan agar tidak mudah gelabah.

“Mana ada kerusi Pas yang dipinjamkan kepada DAP. Saya gunakan bahasa kiasan supaya DAP faham yang Pas tidak akan berunding sebagaimana sebelum ini untuk pengagihan kerusi.

“Pas sedar untuk meletakkan calon bertanding di satu-satu kerusi, Pas akan tengok dahulu sejauh mana sokongan kekuatan yang berpihak kepada Pas,” katanya pada sidang media di Kelantan Trade Centre (KTC) hari ini lapor portal media MG.

Beliau menjawab kenyataan balas Anthony Loke yang dilaporkan meminta Nik Mohamad Abduh menyatakan kerusi mana diberikan parti itu kepada DAP untuk bertanding pada Piliham Raya Umum ke-13 tahun 2013.

Anthony Loke berkata, mengikut rekod DAP, tidak ada sebarang rundingan kerusi antara Pas dengan parti itu.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, selepas PRU13, DAP tiba-tiba sombong terhadap Pas walaupun ketika itu mereka bersama dengan pembangkang dalam Tahaluf Siyasi.

“Dia (DAP) mula cakap sombong dengan kita setelah melihat Pas seolah menagih ‘cinta’ darinya.

“Dari situ, siapa yang memulakan permusuhan dengan Pas kalau tidak DAP dahulu,” tegasnya.

TAGS