PKPIM syor lima cadangan tangani masalah rasuah mahasiswa

PKPIM syor lima cadangan tangani masalah rasuah mahasiswa

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) hari ini mengesyorkan lima cadangan kepada pihak berwajib bagi menangani masalah rasuah dalam kalangan mahasiswa ekoran kanyataan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 11 November lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dilaporkan berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas 1,000 penuntut universiti pada tahun lalu, SPRM merekodkan 16 peratus dalam kalangan mereka sanggup menerima rasuah manakala 18.5 peratus pula sanggup memberi rasuah.

Selain itu, dapatan kajian Institut Integriti Malaysia mendapati sebanyak 35.8% mahasiswa daripada 402 responden menyokong perbuatan yang menjurus kepada rasuah.

“Berikutan perkembangan ini, PKPIM khuatir perkara ini akan terus merebak menyebabkan mahasiswa tidak segan silu untuk terbabit dalam aktiviti yang mengandungi unsur-unsur rasuah,” kata presiden persatuan itu Muhammad Khair Sujud dalam satu kenyataan.

Oleh yang demikian katanya, sebagai sebuah NGO mahasiswa peringkat nasional yang sentiasa inginkan masa depan negara yang lebih gemilang dan bebas rasuah, PKPIM mengesyorkan langkah-langkah berikut untuk pertimbangan pihak berwajib.

1 – Memperkasa peranan Sekretariat Pencegahan Rasuah Malaysia Di seluruh IPTA, IPTS, Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah seluruh negara.

2 – Mendapatkan sokongan seluruh Ahli Majlis Perwakilan Pelajar & Persatuan Mahasiswa Peringkat Nasional dalam menjayakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

3 – Mengesyorkan Modul Anti-Rasuah diterapkan melalui subjek pendidikan wajib di universiti seperti TITAS dan lain-lain.

4 – Memanfaatkan minggu orientasi dan suai kenal mahasiswa sebagai penerangan mengenai isu rasuah.

5 – Bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan NGO berkaitan melaksanakan kempen “Mahasiswa Tolak Rasuah.

PKPIM meyakini bahawa kejayaan pendidikan diukur atas faktor akademik semata-mata tanpa mengira kepentingan nilai etika juga menyumbang kepada peningkatan permasalahan rasuah dalam kalangan mahasiswa, sambungnya.

Justeru katanya lagi, PKPIM bertegas bahawa sudah tiba masanya mahasiswa sebagai pewaris kepimpinan negara mencegah diri daripada terlibat dalam kancah rasuah.

“PKPIM juga tidak menolak kemungkinan kegagalan pimpinan negara dan pemimpin politik membebaskan diri mereka daripada kesalahan rasuah dan salah guna kuasa turut menyebabkan mahasiswa turut terpalit isu serupa.

“Sebagai warga Malaysia yang patriotik dan inginkan sebuah negara yang lebih baik, PKPIM sedia berkerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan visi Malaysia Bebas Rasuah 2050 dapat direalisasikan sejajar dengan aspirasi besar TN50,” kata beliau.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES