PKR patut nasihat Amanah dan DAP, kata Pas

PKR patut nasihat Amanah dan DAP, kata Pas

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar sepatutnya menasihatkan Parti Amanah Negara (Amanah) agar tidak bertanding untuk menentang Pas di Kelantan, kata Naib Presidennya Idris Ahmad.

Idris berkata demikian sebagai mengulas nasihat Nurul Izzah kepada Pas supaya berfikir kembali untuk bertanding di kerusi Permatang Pauh.

“Kalau nak nasihat Pas, nasihat sekali ‘kawan dia’ DAP, Amanah.. .beritahu jangan cuba jatuhkan Pas di Kelantan.

“Kami (Pas), tetap fokus lawan BN (Barisan Nasional), jadi jangan hentam Pas sangat…Pas tak serang orang selagi mana orang itu tak menyerang Pas, perlu ingat kita ada agenda parti, ada program strategik,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, ahli Parlimen Lembah Pantai itu dilaporkan sebagai berkata, Pas perlu fokus melawan BN kerana sekiranya meneruskan hasrat bertanding di Permatang Pauh ia dikhuatiri mengelirukan para pengundi.

“Saya rasa dia (Pas Permatang Pauh) patut fikirkan semula keputusan mereka dan fokus berlawan BN.

“Kalau tak, nanti pengundi akan keliru dengan tindakan mereka,” kata Nurul Izzah selepas perasmian konvensyen Amanah Nasional di Shah Alam Sabtu lalu.

Pas Permatang Pauh dilaporkan mahu bertanding di kawasan Parlimen itu dan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya dalam pilihan raya umum depan.

Dun di kawasan itu adalah Seberang Jaya, Penanti, Permatang Pasir.

Ketua Penerangan Pas Permatang Pauh Jamsari Samad dilaporkan berkata umum mengetahui kerusi untuk ketiga-tiga DUN dan Parlimen Permatang Pauh dimiliki oleh Pas.

Namun, katanya lagi, atas semangat toleransi, Pas memberi keizinan kepada PKR untuk meletakkan calon.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kini merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh.

Terdahulu, Amanah Pulau Pinang dilaporkan turut berminat bertanding di Permatang Pasir yang selama ini menjadi kubu kuat Pas.

Mengulas lanjut, Idris berkata, Pas sentiasa istiqamah dalam perjuangan menentang BN.

TAGS