PKR Sabah sokong Majlis Raja-Raja, Islam raikan perbezaan dan kepelbagaian

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Kebimbangan Majlis Raja-raja Melayu terhadap tindakan segelintir rakyat yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum dan agama di negara ini mendapat sokongan PKR Sabah.

Timbalan Pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud dalam satu kenyataan melahirkan kegusaran dengan perkembangan yang berlaku di negara ini apabila Islam diperlihat sebagai agama yang menyulitkan dan bertentangan dengan pembinaan negara bangsa.

“Islam sepatutnya di lihat sebagai agama pembawa rahmat seluruh alam atau ‘Rahmatan Lil ‘Aalamin.

“Kami di Sabah yang terkenal dengan semangat toleransi kaum amat bimbang dengan fenomena ini dan berharap dengan teguran Majlis Raja-Raja ini tidak ada mana-mana pihak yang cuba membawa polisi dan isu yang sama ke negeri di bawah bayu ini,” tegas beliau.

Menurut ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu, fenomena kepelbagaian di negara ini diungkap dengan penuh hikmah oleh Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas:

“…Keadaan bertumpunya agama-agama agung di dunia ini di Malaysia janganlah hendaknya kita anggap sebagai satu kelemahan besar, satu bibit perceraian masyarakat kita; kita harus mengangapnya sebagai satu keistimewaan dan kebesaran kita di dunia; kita harus tahu bahawa dalam pandangan hidup agama-agama ini semua lebih banyak terdapat titik pertemuan daripada yang terdapat dalam ideologi-ideologi politik, bahawa dalam keluhuran falsafah-falsafah agama-agama Islam, Kristian, Hindu, Budha dan ajaran Lao Tzu dan Kung Fu Tze ada terdapat kesejajaran fahaman dalam bidang-bidang penting yang tentu akan dapat membantu ke arah memupuk faham keperibadian Malaysia.”

Pandangan Dr Syed Naquib ini, ujarnya diperkukuhkan dengan pesanan daripada pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Datuk Dr. Siddiq Fadhil bahawa pembinaan bangsa dalam konteks Malaysia harus berasaskan formula ‘kepelbagaian dalam kesatuan’.

Beliau turut memetik pesanan Bapa Kemerdekaan Sabah Almarhum Tun Datu Mustapha Datu Harun yang mengatakan:

“Dalam jangka panjangnya, kita ingin melahirkan satu keturunan rakyat Malaysia yang tulen. Kita berhasrat membentuk satu rupa pengenalan rakyat yang mempunyai peribadi Malaysia sendiri. Kita mahu menyatukan cara hidup, sikap, kebudayaan dan pandangan mereka sebagai orang Malaysia.”

Sehubungan itu, PKR Sabah menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan fenomena tidak sihat ini dan berusaha mencari titik persamaan dan menghormati perbezaan yang wujud.

“Sudah tiba masanya kita mengajak rakyat Malaysia belajar daripada budaya Orang Sabah yang amat menjaga dan mempertahankan keharmonian bermasyarakat dengan kepelbagaian yang ada,” ujarnya.

CATEGORIES