PKR tuntut PAS kerjasama dengan Umno untuk membuat makruf

PKR menuntut PAS supaya bekerjasama dengan Umno berteraskan prinsip amar makruf atau berbuat kebaikan bukannya bekerjasama melaksanakan keburukan sebagaimana yang sedang dilakukan parti pemerintah itu sekarang.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

PKR menuntut PAS supaya bekerjasama dengan Umno berteraskan prinsip amar makruf atau berbuat kebaikan bukannya bekerjasama melaksanakan keburukan sebagaimana yang sedang dilakukan parti pemerintah itu sekarang.

Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh dalam satu kenyataannya berkata, kerjasama ini boleh berlaku dalam banyak keadaan dan peringkat, sama ada sesama individu atau kumpulan, dalam perkara kecil atau besar.

Syed Ibrahim Syed Noh“Dalam kalimah bahasa, kerjasama dalam perkara keburukan pun dianggap kerjasama,” katanya dalam kenyataan yang dipercayai merujuk kepada kerjasama yang sedang dirintis oleh PAS dengan Umno sekarang.

Justeru, katanya, asas kerjasama wajib kepada prinsip-prinsip yang didokong yang membawa manfaat kepada umum namun tidak boleh sama sekali bekerjasama dalam perkara dosa seperti berdusta dan perkara melampaui batas seperti pecah amanah dan kezaliman.

“Kepekaan dan kesedaran terhadap pendirian pihak yang terlibat dalam kerjasama amatlah penting supaya kita tidak terjerumus sama dalam membuat kerosakan,” katanya.

Katanya, dalam konteks politik negara sekarang, amatlah jelas kepincangan Umno-BN dalam memerintah dan mentadbir.

Krisis ekonomi dan kepemimpinan berlaku kerana kelemahan dan kebobrokan mereka yang berkait dengan prinsip amanah, keadilan, kebenaran, tatakelola dan pertanggungjawaban, katanya.

Di samping itu, skandal hutang 1MDB, derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, pelaksanaan GST dan penggunaan undang-undang seperti akta hasutan sebagai ancaman adalah antara pelanggaran prinsip-prinsip tersebut oleh Umno-BN yang akibatnya amat buruk buat rakyat.

Sementara itu, katanya, dana awam yang kebanyakannya merupakan wang amanah orang Melayu dan Bumiputera turut dicemari dengan keputusan serta tindakan yang amat meragukan.

“Contohnya penggunaan dana Kumpalan Wang Amanah Pencen, Tabung Haji dan lain-lain untuk menyelamatkan 1MDB. Begitu juga dengan dakwaan penyalahgunaan dana dan aset MARA dalam pembelian hartanah serta salahguna dana amal jariah YaPEIM,” katanya.

“Justeru dalam konteks cadangan kerjasama di antara Umno dan PAS yang masih lagi rakan tahaluf siyasi PKR, saya ingin menegaskan pendirian Biro Politik PKR bahawa bekerjasama tidak ada salahnya malah digalakkan dalam rangka usaha yang jelas ke arah mewujudkan kemakmuran ekonomi, menjamin keadilan sosial dan kepemimpinan yang amanah.

“Namun pertimbangan yang bijaksana perlu diambil apabila rakan kerjasama tidak serius malah menjadi penyumbang kepada kerosakan, penyelewengan, rasuah dan kezaliman,” katanya dalam kenyataan itu.

TAGS