PM baik hati nak selesai saman dengan Pas, ujar peguam Najib

PM baik hati nak selesai saman dengan Pas, ujar peguam Najib

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mahkamah Rayuan telah menetapkan 7 Mac, tahun depan untuk mendengar dua rayuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung saman fitnah ke atas lidah rasmi Pas, Harakahdaily berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang bersidang dalam kamar semalam berhubung pengurusan kes mengenai perkara itu.

Rayuan itu ialah mengenai keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 April tahun ini yang menolak permohonan najib untuk meminda pernyataan tuntutannya bagi memasukkan kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Satu lagi rayuan ialah berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Mei tahun ini yang menolak permohonan Najib supaya saman itu diputuskan berdasarkan fakta undang-undang tanpa diadakan perbicaraan penuh.

Peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili pengarah urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob dan ketua editor Harakahdaily, Taufek Yahya yang disaman oleh perdana menteri, berkata berhubung pengurusan kes, beliau telah memaklumkan Hakim Md Raus bahawa pihaknya tidak mahu menyelesaikan kes saman fitnah tersebut dan mahu perbicaraan mendengar saman diteruskan.

Pada Julai tahun ini, Najib mengemukakan cadangan mengandungi terma-terma bagi penyelesaian kes saman fitnah itu di luar mahkamah.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib, yang juga hadir pada pengurusan kes, memberitahu pemberita beliau juga mengemukakan cadangan penyelesaian kepada PAS sehingga 7 Mac kerana perdana menteri telah berbaik hati untuk menyelesaikan kes saman itu dengan PAS.

Beliau berkata oleh kerana Najib juga akan berada di pentas yang sama pada Ahad bersama presiden PAS Abdul Hadi Awang mengenai isu Rohingya, beliau berharap pemimpin tertinggi PAS akan membalas sikap baik hati itu kerana apa-apapun boleh berlaku sebelum 7 Mac.

Beliau menambah bahawa Najib bersedia hadir di mahkamah untuk memberi keterangan dalam semua saman sivil yang difailkannya tetapi buat masa ini beliau perlu menyelesaikan perkara-perkara berhubung “interlocutory.”

Najib menyaman Dr Rosli dan Taufek berkaitan artikel berbaur fitnah yang ditulis oleh Rosli dan diterbitkan pada 19 Feb, 2015, kerana mendakwa artikel itu menggambarkan beliau telah menyalahguna dana 1MDB fdan bahawa penerbitan artikel tersebut bertujuan untuk mencemarkan reputasinya.

Beliau juga mendakwa bahawa Taufek gagal mengamalkan “kewartawanan bertanggungjawab” dan tidak mengesahkan sama ada kandungan dalam artikel Rosli adalah benar sebelum menerbitkannya.

TAGS