PM dan menteri kabinet disaran turut tanggung kesusahan rakyat

PM dan menteri kabinet disaran turut tanggung kesusahan rakyat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perdana Menteri dan menteri kabinet disaran turut melakukan pengorbanan dan menanggung bersama kesusahan yang menghimpit rakyat dalam menghadapi ekonomi yang semakin mencabar.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perdana menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak boleh terus mengharapkan rakyat berkorban dengan mengurangkan pendapatan boleh belanja mereka.

“Sepatutnya perdana menteri melaksanakan nasihatnya kepada kabinet agar mereka bijak dan berhemah dalam membelanjakan peruntukan kerajaan.

“Tunjukkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan dengan mengurangkan anggota kabinet dan gaji mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim juga mencadangkan sepatutnya Jabatan Perdana Menteri (JPM) melaksanakan konsep ketelusan dalam perbelanjaan dengan mengunakan veteran kakitangan awam dan pesara daripada mengambil kakitangan kontrak bergaji tinggi di JPM.

Tuan Ibrahim berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam, yang mengatakan, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah menyelamatkan ekonomi negara dengan menampung hasil kerajaan disebabkan pengurangan hasil cukai petroleum.

“Apakah perdana menteri sedang memberikan bayangan kadar GST akan dinaikkan atau GST bakal meliputi lebih banyak jumlah barangan dan perkhidmatan termasuklah RON95 dan bayaran tol bagi terus menampung hasil negara memandangkan harga minyak dunia dijangka mengambil masa lama untuk kembali stabil?” soalnya.

Tuan Ibrahim berkata, perkara ini tidak mustahil berlaku sekiranya perdana menteri mengunakan alasan ‘menyelamatkan negara’.

“Kini GST digelar sebagai penyelamat atas alasan itu juga kadar GST boleh dinaikkan.

“Jika begitu ini bukan kali pertama perdana menteri dan kerajaan BN membelakangkan kesusahan rakyat.

“Perdana menteri dan kerajaan BN tidak boleh terus mengharapkan rakyat untuk berkorban sedangkan Ketua Audit Negara terus melaporkan keborosan dan ketirisan dalam pengurusan kewangan kerajaan.

“Bagi rakyat GST ini bermaksud rakyat yang bayar dan berkorban. Jadi susah sangatkah melihat perdana menteri dan menteri kabinetnya turut berkorban dan menampung bersama kesusahan rakyat?” soalnya.

TAGS