PM dua penggal, Amanah dan Bersatu  bergabung tenaga

PM dua penggal, Amanah dan Bersatu bergabung tenaga

Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini sepakat akan berganding bahu mengangkat cadangan untuk menghadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini sepakat akan berganding bahu mengangkat cadangan untuk menghadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja.

Timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, selepas sekian lama membawa idea itu sewaktu beliau menjadi ahli parlimen, kini naib presiden penaja PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir membawa idea yang sama yang menjadi visi besar dalam partinya.

Dalam sidang media bersama di Wisma Amanah Negara di ibu negara hari ini, Salahuddin berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan melalui dua keadaan iaitu melalui pindaan perlembagaan atau melalui konvensyen seperti yang berlaku di United Kingdom (UK).

Menurut beliau, artikel 40 (3) hanya menyebut tentang seorang perdana menteri itu boleh menjadi perdana menteri dengan dua kelayakan iaitu mesti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kedua mendapat majoriti dua per tiga suara dalam dewan.

“Kalau itu hendak kita pinda maka ia memerlukan pindaan perlembagaan yang memerlukan keputusan majoriti dua per tiga.

“Tetapi ia juga boleh berlaku seperti di UK iaitu melalui konvensyen. Kadang-kadang ia lebih kuat seperti mana saya sebutkan contoh dalam negara kita seorang perdana menteri dan timbalan perdana menteri dalam perlembagaan itu tidak disebut dalam perlembagaan mesti orang Melayu Islam tetapi melalui konvensyen ia menjadi suatu yang diikuti.

“Jadi idea besar ini boleh berlaku dalam negara kita dalam kedua-dua keadaan. Mungkin selepas kejatuhan BN dalam PRU akan datang jika semua ahli parlimen kita bersetuju dan punya cukup suara maka kita boleh pinda perlembagaan dengan suara lebih dua per tiga.

“Tetapi jika ia tidak boleh ia boleh menjadi melalui konvensyen. Dengan konvensyen kita boleh mengangkat idea besar ini kerana ia adalah kebaikan untuk rakyat,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara, Jalan Kuching hari ini.

Salahuddin juga berkata, bagi memastikan cadangan itu menjadi kenyataan, beliau dan Mukhriz akan mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang seperti tokoh politik, pendidikan, budaya, perundangan dan sebagainya bagi memohon sokongan mereka.

“Saya akan terus bercakap tentang perkara ini dan akan berganding bahu dengan Datuk Seri Mukhriz supaya kita dapat menjadikan agenda besar ini dan mungkin akan mengadakan beberapa pertemuan dengan tokoh-tokoh negara, budaya, politik, pendidikan, masyarakat, perundangan dan lain-lain untuk meminta mereka menyokong idea besar ini.

“Untuk kita terus menjadikannya agenda nasional yang mungkin akan menjadi kenyataan suatu hari nanti ia juga perlu diangkat untuk menjadi pendidikan politik terhadap rakyat dalam negara kita,” katanya yang juga bekas ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sementara itu, Mukhriz menegaskan, cadangan menghadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal bertujuan mengelakkan daripada seorang perdana menteri menyalahgunakan kuasa yang didakwanya sedang berlaku pada hari ini.

“Antara tujuan kita menghadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal supaya mengelakkan seorang perdana menteri daripada boleh menyalahguna kuasa kerana dia tahu dalam tempoh 10 tahun dia kena lepaskan jawatan,” katanya.

Menurut bekas menteri besar Kedah itu juga, perlembagaan PPBM dan Amanah sendiri telah pun menetapkan tempoh khidmat presidennya mereka kepada tiga penggal iaitu tiga tahun satu penggal.

“Kedua-dua parti kami sudah pun meletakkan tempoh khidmat yang terhad ini dalam perlembagaan kami. Kalau ikut konvensyen, parti yang mempunyai kerusi parlimen terbanyak biasanya boleh mencadangkan presidennya sebagai perdana menteri dalam negara kita.

“Dalam perlembagaan kedua-dua parti kita menghadkan seorang presiden kepada tiga penggal dan sepengal tiga tahun jadi maksimum sembilan tahun.

“Jadi sekiranya presiden daripada pihak kami berdua ini memegang jawatan perdana menteri secara automatik tempoh khidmatnya terhada kepada hanya sembilan tahun. Itupun kalau menanglah iaitu tiga kali dalam pemilihan parti dan dua kali dalam pilihan raya,” jelasnya.

Turut bersama dalam sidang media itu ialah Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir.

TAGS