PM hanya umum bantuan segera bantu pekebun kecil kerana PRK

PM hanya umum bantuan segera bantu pekebun kecil kerana PRK

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggesa kerajaan BN melaksanakan langkah-langkah konkrit termasuk menguatkuasakan harga lantai getah berbanding memberikan bantuan ‘sekaligus’ (one off) untuk pekebun kecil getah.

Sambil mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak yang memperuntukkan RM194 juta kepada 388,111 pekebun kecil getah di bawah bantuan khas Kejatuhan Harga Getah, Mazlan berkata bantuan itu tidak banyak membantu pekebun kecil yang terkesan dengan kejatuhan harga komoditi itu.

Peruntukan RM500 bagi setiap penoreh getah yang diumumkan Najib di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar, pagi tadi, kata Mazlan pernah diberikan pada 2013 dan 2014.

Namun tambah beliau, Anak melihat isu kejatuhan harga komoditi getah yang berlarutan sejak 2013 perlu ditangani secara bersepadu dan berkesan.

“Memberi peruntukan one off adalah bersifat adhoc (sementara) yang tidak memberi impak sewajarnya sebagai formula terhadap derita penoreh getah.

“Sejauh mana kerajaan mempertimbangkan desakan harga lantai sekurang-kurangnya RM3.50 hingga RM4.00 sekilogram yang sehingga ini, harga getah sekerap hanya pada kadar antara RM1.75 hingga RM2.00 sekilogram.

“Ia begitu rendah dan mengakibatkan ratusan ribu penoreh getah berada pada tahap miskin,” kesal beliau.

Tambah Mazlan, plan menstabilkan harga getah yang diumumkan sebelum ini oleh Lembaga Getah Malaysia tidak menampakkan hasil sedangkan negara pengeluar lain seperti Thailand dilihat jauh lebih berjaya dan bersungguh menangani isu kejatuhan harga getah.

Anak ujarnya yakin bahawa pengumuman bantuan sekaligus itu dibuat ekoran pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang mempunyai ramai pekebun kecil getah.

Ini katanya menunjukkan kerajaan BN kekeringan idea dan hanya bergantung pada taktik lama apabila berhadapan masalah.

“Pengundi harus bijak dengan erti kata lain ambil RM500, tapi kekal berpendirian menolak BN dan sekutunya yang bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Sampaikan mesej dan signal jelas kepada kerajaan BN yang korup ini!” tegasnya.

TAGS