Polis siasat 15 NGO disyaki terima dana asing

Polis siasat 15 NGO disyaki terima dana asing

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sebanyak 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang disiasat kerana disyaki menerima dana yang meragui daripada pihak asing.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya juga akan memberi laporan penuh berkaitan siasatan dilakukan secepat mungkin.

“Saya akan memberi laporan interim dulu kepada Timbalan Perdana Menteri.

“Dan siasatan akan kita teruskan. Kita sedang mengkaji semua NGO yang (disyaki) menerima dana-dana asing,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Polis Bantuan Malaysia ke-28 di Senai, hari ini.

Khalid berkata, polis masih lagi menjalankan siasatan ke atas NGO terbabit, dan ia masih belum selesai.

“Saya mengingatkan (NGO) apa nak takut. kalau tak salah, kalau tak ada menggunakan dana untuk tujuan-tujuan yang melanggar peraturan… melanggar undang-undang.

“Tetapi mereka yang tak mematuhi undang-undang, menggunakan dana itu untuk tujuan mengancam demokrasi berparlimen di negara ini, yang ini yang patut risau,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memberi perhatian serius terhadap perkara itu kerana polis tidak mahu ada pihak yang cuba mengganggu gugat demokrasi berparlimen di Malaysia.

Ditanya sama ada NGO yang disiasat ada kaitan dengan politik, Khalid memberitahu ada juga pertubuhan yang tidak mempunyai kaitan sedemikian.

“Ada yang tidak.. Ada yang menggunakan nama yang kononnya tidak ada ‘political link’, tetapi apabila kita siasatan ada juga linknya.

“Jadi itu biar kita yang jalankan siasatan,” katanya.

TAGS